Sunday, November 28, 2010

KAEDAH MENCEGAH KANSER (Part 2)


Dibanyak negara, kanser menjadi pembunuh nombor satu. Berikut ini beberapa garis panduan yang boleh digunakan dalam usaha mencegah bahaya kanser.

  1. Gunakan minyak sayur-sayuran yang sesuai secara sederhana. Hadkan pengambilan makanan berlemak terutamanya dari sumber hewan. Diet yang tinggi lemak mendedahkan kepada resiko kanser paru-paru, kolon, payudara dan prostat. Jika ingin menambah lemak dalam makanan, gantikan dengan minyak sayur-sayuran.

  1. Kurangkan pengambilan makanan bergaram dan garam dalam hidangan. Gunakan herba dan rempah sebagai bahan perasa. Kandungan garam yang tinggi boleh menyebabkan kanser perut.

  1. Jangan makan makanan yang tercemar dengan kulat. Makanan yang tercemar dengan aflatokesin dan mikroorganisma kulat mengundang bahaya kanser hati. Ini mungkin karena makanan itu disimpan terlalu lama dalam keadaan panas atau lembab atau karena melebihi tempoh masa berlakunya.

  1. Simpan makanan yang cepat rusak dalam peti sejuk. Ada kajian membuktikan menyejukan dapat mengurangkan keperluan garam sebagai pengawet dan sekaligus mengurangkan resiko kanser perut.

  1. Kurangkan makanan yang disalai. Memadai ambil sekali-sekala makanan (daging atau ikan) yang disalai atas api serta daging yang diawetkan dan diasapkan. Makanan salai terutama daging dan ikan boleh mengakibatkan pengeluaran sebatian heterocyclic aromatic yang boleh menyebabkan kanser. Makanan yang diawet dengan nitrit pula mempunyai nitrosamina yang juga berpotensi menyebabkan kanser. Sebatian lain yang berbahaya akibat pembakaran kayu ditemui dalam makanan yang diasapkan. Bagaimanapun kaedah memasak dengan suhu rendah seperti mengukus, merebus, mereneh, membakar dan memanggang dianggap baik untuk kesehatan.

  1. Jangan merokok atau mengunyah tembakau. Tembakau adalah penyebab utama kanser paru-paru dan berkemungkinan menyebabkan kanser mulut, kerongkongan dan system penghadaman.

  1. Tidak perlu diet supplemen bagi yang patuh kepada saranan diatas, anda mungkin tidak perlu lagi makanan tambahan yang kaya beta-karotena, vitamin C dan selenium yang boleh mencegah kanser. Para penyelidik sendiri tidak menyarankan pengambilan supplemen sebagai usaha mencegah kanser, karena supplemen yang menggabungkan pelbagai kombinasi dan dos belum dijamin berkesan. Sebaliknya, makanan yang kaya khasiat dan sebatian terutama sekali buah-buahan dan sayur-sayuran lebih diutamakan.



Saturday, November 27, 2010

KAEDAH MENCEGAH KANSER (Part 1)

Dibanyak negara, kanser menjadi pembunuh nombor satu. Berikut ini beberapa garis panduan yang boleh digunakan dalam usaha mencegah bahaya kanser.

  1. Pilih diet yang berasaskan tumbuh-tumbuhan dan sayur-sayuran, buah-buahan kekacang serta kurangkan pengambilan makanan ruji berkanji yang diproses. Makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan dianggap diet paling baik untuk mencegah kanser. Para pakar membuktikan kandungan vitamin, galian, serat, fitokimia dan sebatian lain dalam sayur-sayuran dan buah-buahan mampu melindungi daripada serangan kanser. Makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan juga rendah kalori dan ini membawa mencegah kegemukan yang merupakan salah satu punca kanser.

  1. Dapatkan berat badan ideal. Elakkan daripada mengalami kekurangan berat badan atau berlebihan berat badan. Ini karena kegemukan boleh meningkatkan resiko endometrium (membran mucus yang mengalas rahim). Ia juga boleh meningkatkan resiko kanser payudara dan kanser buah pinggang. Selain itu, elakkan juga kenaikkan berat badan mendadak selepas usia 18 tahun karena ia beresiko besar.

  1. Jangan duduk sahaja ditempat kerja. Lakukan “latihan” berjalan selama satu jam atau senaman seumpamanya setiap hari. Lakukan senaman sekurang-kurangnya satu jam. Para pakar menyatakan aktiviti fisikal yang kerap dapat membantu mencegah kanser kolon, kanser payudara dan kanser paru-paru. Aktiviti fisikal juga membantu mengawal berat badan dan mencegah kanser yang dikaitkan dengan kegemukan.

  1. Dalam sehari, ambil lima atau lebih hidangan yang terdiri daripada sayur-sayuran dan buah-buahan. Pengambilan makanan begini dapat melindungi daripada banyak jenis kanser seperti paru-paru, kolon, perut, mulut, farinks, esophagus, payudara, hempedu, larinks dan pankreas.

  1. Kurangkan pengambilan makanan dan gula yang diproses. Makan lebih daripada tujuh hidangan yang terdiri daripada pelbagai bijirin, kekacang, tumbuhan berakar dan berubi. Pakar pemakanan menyatakan, bahagian terbesar diet sepatutnya datang daripada makanan ini. Jika diproses secara minimum, makanan seperti bijirin dan nasi, menawarkan banyak serat dan zat makanan penting. Makanan berubi seperti kentang dan keledak, makanan berakar seperti lobak, pula dikaitkan sebagai pelindung kanser. Kekacang pula merupakan makanan kaya protein dan sumber tambahan dalam diet mencegah kanser.

  1. Hentikan pengambilan alkohol bagi orang Islam, alkohol memang dilarang sama sekali. Ketahuilah, alkohol boleh meningkatkan resiko kanser mulut, farinks, larinks, esophagus, hati, kolon, rectum dan payudara.

  1. Hadkan pengambilan daging merah kepada kurang daripada tiga auns sehari. Seelok-eloknya pilih ikan, ayam atau daging yang bukan daripada haiwan ternakan untuk menggantikan daging merah. Pengambilan daging merah (daging lembu, kambing, biri-biri dan seumpamanya) meningkatkan resiko kanser kolon, rectum, payudara, prostat dan buah pinggang. Malah kandungan lemak yang tinggi dalam daging merah juga boleh menyebabkan banyak kanser lain.

Saturday, November 20, 2010

KASIH ABU UBAIDAH AL-JARRAH KEPADA RASULULLAH


Abu Ubaidah melihat dua mata rantai baju besi penutup kepada Rasulullah melekat pada kedua-dua belah pipinya.

Abu Ubaidah tidak dapat menahan hatinya lagi, dia segera menggigit satu daripada mata rantai itu dengan giginya lalu menariknya dengan kuat dari pada pipi Rasulullah sehingga tercabut keluar.

Ketika itu juga gigi Abu Ubaidah tercabut akibat menarik rantai yang tajam itu. Lalu ditariknya kedua-dua mata rantai itu dan tercabut sebatang lagi giginya.

Abu Bakar As-Siddiq menceritakan peristiwa itu dengan kata-katanya seperti berikut :

“Sewaktu Perang Uhud dan Rasulullah SAW ditimpa anak panah hingga dua mata rantai tajam menusuk bahagian atas kedua-dua belah pipinya, saya segera berlari mendapatkan Rasulullah SAW.

“Tetapi ada seseorang datang bagaikan terbang dari timur, maka kataku : Ya Allah semoga ini adalah pertolongan dan ketika kami sampai kepada Rasulullah, orang itu adalah Abu Ubaidah yang mendahului aku kesana, serta katanya :

“Atas nama Allah saya meminta kepada anda wahai Abu Bakar, supaya biarkan saya mencabutkannya daripada pipi Rasulullah !.

“Sayapun membiarkannya, maka dengan giginya, Abu Ubaidah mencabutnya daripada pipi Rasulullah satu demi satu mata rantai itu sehingga kedua-duanya tercabut, menyebabkan Abu Ubaidah kelihatan dihadapan orang mempunyai gigi yang lompang !”

Ketika bertambah besar dan luasnya tanggung jawab sahabat, maka amanah dan kejujuran Abu Ubaidah turut meningkat.

Dalam ekspedisi “Daun Khabath’ Abu Ubaidah ditugaskan Nabi SAW memimpin lebih daripada 300 orang prajurit yang dibekalkan tidak lebih daripada sebakul kurma, sedangkan tugas sukar dan jarak yang ditempuhi jauh pula, Abu Ubaidah menerima perintah itu dengan taat dan gembira.

Bersama anak buahnya, dia pergi ke tempat yang dituju dan bekalan setiap prajurit setiap harinya hanyalah segenggam kurna dan selepas habis maka bahagian masing-masing hanyalah sebuah kurma sehari.

Ketika habis semua sekali, mereka mulai mencari daun kayu yang disebut khabath, lalu mereka tumbuk hingga halus seperti tepung dengan menggunakan senjata.

Selain daun itu yang dijadikan makanan, mereka menggunakan daun itu sebagai bekas untuk air minum, itulah sebabnya ekspedisi itu disebut ekspedisi Daun Khabath.

Mereka terus maju tanpa menghiraukan lapar dan dahaga serta tidak ada tujuan mereka kecuali menyelesaikan tugas mulia yang diutuskan Rasulullah SAW kepada mereka. Rasulullah SAW amat sayang kepada Abu Ubaidah sebagai orang kepercayaan Ummah.

PUJI ALLAH, HINDARI SIFAT RIAK


Nabi Muhammad SAW mengingatkan umatnya berhubung empat perkara yaitu :

· Banyakkan menyebut nama Allah daripada menyebut makhluk

Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji orang berbuat baik kepada kita sehingga kita terlupa nikmat itu dikaruniakan oleh Allah.

Kita sering terlupa memuji dan menyebut nama Allah SWT. Makhluk yang berbuat baik sedikit dipuji, tetapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan, kita terlupa.

Sebaik-baiknya, elok basahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapkan Alhamdulillah hanya apabila sudah kenyang saja. Pujian yang sebegini hanya dilidah saja, sedangkan tidak dihati.

Banyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia. Dunia terlalu sedikit berbanding dengan akhirat. Sesungguhnya 1,000 tahun di dunia adalah setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat.

Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding dengan akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada nikmat di akhirat. Begitu juga siksa dan kepayahan hidup didunia hanya 1/100 daripada siksa di akhirat.

· Banyakkan menyebut dan mengingat hal kematian daripada hal kehidupan

Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara, tetapi jarang memikirkan bekalan hidup ketika mati.

Memikirkan mati adalah sunnat karena dengan berbuat demikian kita menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke akhirat.

Perjalanan yang jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang amat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan ketika hidup didunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat.

Kalau kita tidak usahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat ?.

Dalam hubungan ini eloklah kita mencontohi sikap Saidina Ali. Walaupun sudah terjamin syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat sekali tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya.

Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dosa ?

· Jangan menyebut kebaikan diri dan keluarga

Syaitan sentiasa hendak memerangkap kita dengan menyuruh atau membisikan kepada kita supaya sentiasa ingat atau menyebut kebaikan yang kita lakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat.

Kebaikan yang dibuat, kita sebut selalu bak pepatah “ayam bertelur sebiji riuah sekampung”.

Kita terlupa dengan menyebut dan mengingatkan kebaikan kita itu sudah menimbulkan satu penyakit hati, yaitu ujub.

Penyakit ujub ibarat api dalam sekam yang boleh merusakkan pahala kebajikan yang kita buat.

Lebih dahsyat lagi, jika menimbulkan riak atau bangga diri. Allah memberi amaran sesiapa yang memakai sifat-Nya (riak) tidak mencium bau syurga.

Riak adalah satu unsur syirik (khafi). Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita kepada orang lain.

Kita perlu sadar perbuatan buat baik yang ada pada diri kita itu sebenarnya datang daripada Allah.

Allah yang menyuruh kita berbuat baik. Jadi kita patut bersyukur kepada Allah karena menjadikan kita orang baik, bukannya mendabik dada mengatakan kita orang baik.

Kita terlupa kepada Allah yang mengkaruniakan kebaikan itu.

· Jangan menyebut dan memperlihatkan keaiban atau memburukan diri orang lain

Kegelapan hati ditambah dengan rangsangan syaitan menyebabkan diri kita menyebut kesalahan dan kekurangan orang lain.

Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri kita sendiri.

Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan diri.

Menuding jari mengatakan orang lain tidak betul sebenarnya memberi isyarat kita sendiri tidak betul.

Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang, satu jari ke arah orang itu, tetapi empat lagi jari menudin ke arah diri kita.

Bermakna bukan orang itu yang buruk, malah diri kita lebih buruk daripadanya. Oleh karena itu, biasakan diri kita melihat keburukan diri kita sendiri dan bukannya keburukan orang lain.

TAYAMMUM MEMUDAHKAN


Cara tayammum adalah memulakan dengan membaca Bismillah sambil meniatkan untuk mengharuskan pekerjaan yang dimaksudkan dengan tayammum itu.

Kemudian dengan kedua tapak tangan ditekapkan ke atas debu tanah – tidak mengapa jika debu yang lekat cuma sedikit, setelah ditiup atau dilaga-lagakan kedua-dua tangan untuk menipiskan debu-debu yang melekat padanya, lalu disapukan kemuka sekali saja.

Kemudian tapak tangan itu ditepuk-tepukkan terlebih dulu untuk membuang debu yang sudah terpakai. Selepas itu, ditekapkan sekali lagi pada debu tadi, lalu ditipiskan seperti langkah awal dan kemudian, tapak tangan kiri menyapu tangan kanan sehingga ke siku manakala tapak tangan kanan menyapu tangan kiri hingga ke siku.

Ada tiga perkara yang membatalkan tayammum adalah :

  • Berlaku sesuatu daripada perkara-perkara yang membatalkan wuduk.
  • Melihat air atau sudah mendapat air, jika ia bertayammum karena ketiadaan air.
  • Murtad – keluar daripada Islam.

Daripada Abu Zar r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Tanah itu cukup untukmu bersuci walaupun engkau tidak mendapat air sampai 10 tahun, tetapi apabila engkau memperolehi air, hendaklah engkau sentuhkan air itu ke kulitmu.” (Riwayat Termidzi).

Bagi orang berhadas besar yang hendak menghilangkan hadasnya sedangkan ada anggotanya yang tidak boleh terkena air, ia hendaklah meratakan air ke seluruh anggota tubuh badannya, kecuali anggota yang tidak boleh terkena air.

Caranya sama ada bertayammum dulu kemudian membasuh anggota lain atau membasuh anggota lain dulu sebelum bertayammum. Kedua-dua cara ini boleh dilakukan karena tiada disyaratkan tertib bagi mengangkat hadas besar karena dari segi hukum, seluruh badan adalah seperti satu anggota saja.

Bagi yang berhadas kecil yang hendak mengangkat hadasnya, ia hendaklah bertayammum ke atas anggotanya yang tidak boleh terkena air apabila tiba giliran membasuh anggota itu karena mengikut tertib.

Jika sekiranya ada dua anggota wuduk yang tidak boleh terkena air, maka ia wajib bertayammum dua kali, begitu juga dengan tiga anggota. Tetapi, jika keempat-empat anggota wuduknya tidak boleh terkena air, hanya satu tayammum saja yang wajib sebagai ganti wuduk.

Hukum agama kita mengandungi hikmatnya, sama ada yang mampu dilihat secara nyata atau tidak. Karena itu, segala hikmat itu tidak dikaitkan dengan hukum agama karena sama ada hikmat itu kelihatan atau tidak, hukum agama tetap berterusan.

Ulama kita membahagikan hukum agama itu kepada dua bahagian yaitu Ma’quli yaitu yang dapat dilihat hikmatnya serta Ta’abbudi yaitu hikmat yang tersembunyi.

Tayammum termasuk dalam bahagian Ta’abuddi, yaitu perbuatan yang tidak diterangkan hikmatnya tetapi hanya diketahui semata-mata syaratnya saja yaitu supaya sholat tidak ditinggalkan karena tiada air.

Ketiadaan air bukan alasan untuk orang meninggalkan sholat, lebih-lebih lagi jika keadaaan itu hanya berlaku sementara saja. Mengikut hukum, sholat tidak boleh ditinggalkan walau macam mana keadaan yang kita hadapi.

Jaid untuk memelihara sholat supaya tidak ditinggalkan, agama memberi kesempatan kepada kita menggantikan wuduk dengan tayammum, untuk membuktikan taat setia kita kepada Allah.

Tuhan tidak menjadikan keberatan kepada kita dalam agama supaya kita dapat melaksanakan ibadah itu dengan mudah. Contohnya, sholat disyaratkan mesti bersuci dengan air, maka boleh diganti dengan tanah.

Tayammum memiliki dua hikmat terbesar yaitu :

  • Menghinakan diri yang condong kepada kejahatan dengan meletakkan tanah ke muka, yaitu anggota yang paling mulia.
  • Menyatakan kemuliaan, syariat Nabi Muhammad SAW karena tayammum itu tidak dilakukan pada masa umat terdahulu. Ia adalah satu kemudahan dari Tuhan supaya kita dapat terus menunaikan kewajiban.

Tuesday, November 16, 2010

10 PERKARA SEBABKAN DOA TIDAK DIMAKBUL


Apabila menjawab soalan penduduk Basrah mengenai kenapa nasib mereka tetap serupa walaupun selalu berdoa kepada Allah, ulama sufi, Ibrahim bin Adham, berkata : “Sesungguhnya ketahuilah oleh kamu bahwa ada 10 sebab doa itu ditolak, antaranya :

  • Kamu mengaku mengenali Allah, tetapi kamu tidak memenuhi hak-Nya (Hak-hak Allah adalah disembah serta mengikut segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya).
  • Kamu mengaku mencintai Rasulullah SAW tetapi kamu tidak pernah mengikut Sunnahnya.
  • Kamu membaca Al-Quran, tetapi kamu tidak mengamalkan isi kandungannya.
  • Kamu mengaku syaitan adalah musuh kamu, tetapi kamu patuh kepadanya.
  • Kamu berdoa memohon dijauhi api neraka, tetapi kamu mendekatinya dnegan selalu berbuat maksiat.
  • Kamu berdoa memohon semoga dimasukkan ke dalam syurga, tetapi kamu tidak berusaha untuknya.
  • Kamu mengetahui bahwa kematian itu pasti tetapi kamu tidak bersiap sedia untuknya.
  • Kamu selalu membuka keaiban saudara kamu, tetapi kamu tidak melihat keaiban diri kamu sendiri.
  • Kamu memakan segala rezeki dan nikmat Allah, tetapi kamu tidak mensyukurinya.
  • Kamu mengkebumikan orang yang meninggal dunia, tetapi kamu tidak mengambil iktibar daripada kematiannya.

Sesungguhnya, kemungkinan satu daripada perkara itu menjadi punca doa kamu tidak di makbulkan.




TUTUP AURAT JAGA MARUAH WANITA


Apabila wanita menjaga auratnya daripada pandangan lelaki bukan muhrim, bukan saja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal karena syariat menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Jika dibuat perbandingan dari segi harta di dunia seperti intan dan berlian, ia dibungkus dengan rapi dan disimpan didalam peti besi berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita karena wanita bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum.

Mereka masih boleh tampil dihadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh mengenai pakaian wanita, semakin ramai wanita menjaga auratnya dengan sekurang-kurangnya memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah berlaku dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan sama ada pelajar sekolah atau kaki tangan pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna jika masih menampakkan leher atau dada. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat. Pelbagai warna dan perbagai fesyen tudung turut direkan untuk wanita Islam masa kini.

Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok didalamnya, dihias pula dengan kerongsang yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula diatasnya. Malah, perbagai lagi gaya dipaparkan dalam majalah dan akhbar fesyen untuk tudung.

Rekaan itu semuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah keatas wanita. Sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu bukan saja menutup auratnya malah turut menutup maruahnya sebagai wanita.

Ia adalah pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita serta tidak berhias yang boleh menjadikannya daya tarikan kepada lelaki bukan mahramnya. Pakaian sedemikian boleh melindungi wanita daripada menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggung jawab.

Apabila wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, terjadilah pakaian wanita Islam sekarang. Walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sikap sombong makin bertambah sambil berjalan mendabik dada karena terasa tudung sendiri paling cantik, sofistikated, bergaya dan ada kelas.

Akibatnya, tudung yang dipakai tidak memantulkan rasa kehambaan. Kita tidak berasa diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa menegakkan syariat dengan bertudung hanya satu amalan kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa mesti memperagakan diri dan berbangga dengan memakai tudung ?.

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada yang bertudung, tetapi berkepit dan bercanda dengan teman lelaki di taman atau memadu kasih dalam kereta. Sesetengahnya masih menyentuh tangan lelaki yang bukan mahramnya serta terjebak dalam kancah maksiat seperti berkhalwat.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari, amalan bertudung atau menutup aurat sama dengan tidak bertudung. Kalau kita tutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari semasa ke semana, kita menggagalkan mesej Islam untuk disampaikan kepada masyarakat.

Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh diperbaiki, tidak boleh pakai tudung, tetapi Aurat wajib ditutup dan pada masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Buang perangai suka mengumpat, dengki, ego, riak dan penyakit hati yang lain.

Apapun, kewajiban bertudung tidak terlepas dari tanggung jawab setiap wanita Muslim. Kalau sudah mula menutup aurat, elakkan daripada suka bertengkar, sebaliknya hiasi diri dengan sifat tolak angsur. Elakkan pergaulan bebas lelaki dan perempuan, sebaliknya serahkan kepada Allah mengenai jodoh dan masa depan. Yakinlah ketentuan qada’ dan qadar Allah.

Apabila menutup aurat, tingkatkan amalan lain serta menjaga tertib sebagai seorang wanita serta menjaga diri dan maruah sebagai wanita Islam.













Monday, November 15, 2010

PENYAKIT PERIODONTAL ATAU PENYAKIT GUSI

Apakah penyakit “periodontal” ?

Penyakit “periodontal” atau penyakit gusi adalah jangkitan bakteria kronik yang melibatkan gusi dan tulang yang menyokong gigi. Penyakit periodontal boleh melibatkan sebatang gigi atau lebih.

Apakah puncanya ?

Penyakit “periodontal” disebabkan oleh bakteria didalam plak (selaput gigi yang melekit dan tidak berwarna). Jika tidak dibersihkan menggunakan berus gigi dan flos setiap hari, plak boleh bertambah (dan menjadi keras untuk membentuk tartar) dan bacteria ini juga akan menjangkiti tisu gusi dan tulang yang menyokong gigi. Jika proses ini berterusan, gigi menjadi semakin longgar. Poket gusi yaitu suatu ruang akan terbentuk diantara gigi and gusi, dan membenarkan lebih banyak bakteria berkumpul.

Siapa yang berisiko terkena penyakit “periodontal” ?

Penyakit gusi boleh memberi kesan kepada mana-mana kumpulan umur, termasuk kanak-kanak. Walau bagaimanapun, ia paling banyak melibatkan orang dewasa. Beberapa faktor yang boleh meningkatkan resiko adalah :

  • Merokok atau mengunyah tembakau
  • Penyakit seperti kencing manis
  • Gigi serong dan tidak teratur
  • Tampalan gigi yang telah rosak
  • Kehamilan atau penggunaan pil pencegah hamil.

Apakah tanda-tanda penyakit “periodontal” ?

Penyakit “periodontal” boleh berlaku tanpa tanda peringkat awal. Oleh itu, pemeriksaan gigi yang kerap sangat penting untuk diagnosis awal.

Tanda-tanda biasa termasuk :

  • Gusi merah, bengkak dan lembut
  • Gusi berdarah sewaktu memberus gigi
  • Gusi menyusut dari gigi
  • Nafas berbau atau rasa didalam mulut yang tidak menyenangkan
  • Nanah diantara gigi dan gusi
  • Wujud ruang diantara gigi
  • Gigi longgar

Apakah peringkat-peringkat penyakit “periodontal” ?

Gingivitis adalah peringkat awal penyakit “periodontal” yang hanya melibatkan gusi sahaja dan masih boleh dirawat. Jika dibiarkan tanpa rawatan, gingivitis boleh menjadi lebih kronik dan menyebabkan periodontitis.

Gingivitis

Radang gusi mungkin kelihatan merah atau bengkak dan mudah berdarah sewaktu memberus gigi.

Periodontitis

Gusi mula berpisah dan surut dari gigi. Keadaan ini membenarkan plak memasuki ruangan di antara gusi dan gigi.

Periodontitis Kronik

Ligamen dan tulang telah rosak. Gigi menjadi longgar dan kemungkinan perlu dicabut.

Bagaimana cara merawat penyakit “periodontal” ?

Penyakit peringkat awal boleh dirawat sebelum ia menjadi kronik dengan mendapatkan pemeriksaan doktor gigi yang kerap.

  • Peringkat awal penyakit gusi boleh dirawat dengan memberus gigi dan memflos dengan betul.
  • Penjagaan kesihatan gigi yang baik akan mencegah pembentukan plak.
  • Pembersihan secara professional oleh doktor gigi adalah satu-satunya cara untuk menanggalkan plak yang telah mengeras menjadi tartar.
  • Jika keadaan menjadi teruk, prosedur membersihkan akar gigi boleh dibuat. Akar gigi yang bersih dan rata dapat mengelakkan plak dari melekat pada permukaan.
  • Jika keadaan anda lebih kronik, dapatkan rawatan lanjut dari pakar pergigian anda.

Apakah yang anda boleh lakukan supaya gusi sentiasa sihat ?

Masalah gusi boleh dicegah dengan tabiat kesihatan gigi yang menyeluruh. Berikut adalah tip-tip berguna untuk anda :

  • Berus gigi dua kali sehari dengan ubat gigi yang memberi perlindungan sepanjang hari, antaranya :
    • Memberikan perlindungan anti bakteria
    • Membantu mencegah plak dan masalah gigi
    • Mencegah tar-tar, nafas berbau dan mencegah kaviti

  • Gunakan ubat kumur mulut anti bakteria dua kali sehari selepas memberus gigi. Kumur untuk 30 saat dan bilas dengan air selepas kumur. Hal ini akan membantu :
    • Mengurangkan plak dengan berkesan
    • Mengurangkan kesakitan ulser mulut

  • Bersihkan celah gigi setiap hari dengan flos. Ia menjadikan gusi sihat denan mencegah gingivitis
  • Jangan merokok dan menggunakan tembakau
  • Makan diet yang seimbang
  • Selalu berjumpa dengan doktor gigi anda



Friday, November 12, 2010

PERKARA DILARANG KETIKA HAID


Haid adalah darah yang keluar dari faraj wanita yang sudah berusia sembilan tahun ketika tubuh badan sihat. Darah itu keluar menerusi bahagian bawah saluran kencingnya dan ditempat itu juga menjadi laluan bayi ketika ia dilahirkan.

Darah itu mestinya bukan darah penyakit dan keluarnya pula bukan karena bersalin. Sekurang-kurangnya umur wanita yang boleh mendapat haid adalah sembilan tahun qamariah, malah jika kurang beberapa haripun, jika keluar darah, hal ini tetap dihukumkan sebagai darah haid.

Warna darah haid itu adalah hitam, sebagaimana satu riwayat dari Aisyah r.a. bahwasanya Fatimah binti Abi Hubaisy pernah istihadhah, maka Rasulullah SAW bersabda kepadanya : “ Sesungguhnya darah haid itu hitam warnanya dan mudah pula dikenal. Maka, apabila ada darah yang seperti itu, hendaklah anda berhenti sholat. Apabila keadaan sudah tidak seperti itu lagi, hendaklah anda berwuduk dan menunaikan sholat.” Riwayat Abu Daud dan Nasa’i.

Sekurang-kurangnya, masa datang haid itu adalah sehari semalam yaitu 24 jam. Tetapi, biasanya enam hingga tujuh hari dan masa paling lama adalah 15 hari.

Tanda-tanda darah itu sudah berhenti adalah apabila tiada lagi darah yang keluar atau kalau ada yang keluar, itu hanya lendir putih saja. Biasanya selepas darah haid sudah tidak keluar lagi, diiringi dengan lendir putih, waktu itulah kita diwajibkan mandi.

Sekurang-kurangnya masa suci antara dua haid yaitu masa tiada haid adalah 15 hari, biasanya 22 atau 23 hari. Tiada batas bagi jumlah darah haid karena kemungkinan ia tidak lagi mempunyai haid buat selama-lamanya.

Nifas adalah darah yang keluar dari faraj wanita mengiringi kelahiran bayi dan ia keluar sebelum berlalu tempoh 15 hari selepas melahirkan bayi. Jika darah itu keluar selepas tempoh 15 hari itu sudah berlalu, ia dikira darah haid, bukannya darah nifas.

Darah yang keluar sebelum melahirkan dan darah yang keluar beserta dengan kelahiran dengan kelahiran bayi dinamakan darah Fasad, andainya ia tidak bersambung dengan darah yang sebelumnya. Jika ia bersambung dengan haid, ia dinamakan haid.

Sekurang-kurangnya, masa datang nifas itu sekelip mata saja. Tetapi, biasanya 40 hari dan masa yang paling lama sekali adalah 60 hari. Jika lebih daripada itu, dinamakan darah Istihadah atau darah penyakit.

Istihadhah adalah darah yang keluar selain dari masa haid dan nifas. Umpamanya, darah yang keluar sebelum wanita itu berumur sembilan tahun atau datangnya kurang daripada sehari semalam atau lebih daripada 15 hari antara dua kali haid itu.

Bagi wanita yang istihadhah itu, perlu ia membasuh farajnya sebelum ia berwuduk atau tayammum. Kemudian disumbat dengan kapas atau sebagainya, lalu dibalut. Kecuali jika ia berpuasa, maka tidaklah perlu disumbat pada siang hari.

Kemudian apabila sudah masuk waktu sholat, baru ia boleh berwuduk karena tidak sah wuduknya sebelum masuk waktu sholat. Setelah selesai berwuduk, hendaklah ia bergegas menunaikan sholatnya.

Jika dilambatkan karena perkara yang selain daripada masalah sholat, maka wuduknya batal dan wajib mengulangi lagi. Tetapi jika dilambatkan karena hendak menutup aurat atau karena menanti jemaah atau berjalan pergi ke masjid atau sebagainya, maka dibenarkan.

Bagi wanita yang istihadhah, wajib ia mengambil wuduk untuk setiap kali sholat fardunya dan diwajibkan ia kembali membasuh farajnya serta membalut dengan balutan baru, sebelum ia berwuduk.

Perkara yang diharamkan bagi wanita yang haid dan nifas adalah :

  • Sholat
  • Tawaf
  • Menyentuh, mengangkat atau membaca Al-Quran. Nabi SAW bersabda : “Tidak boleh bagi orang yang junub dan orang yang haid itu membaca sesuatu daripada Al-Quran.” Riwayat Termidzi dan Abu Daud
  • Berhenti dalam masjid
  • Bersetubuh atau bercumbu pada tempat antara pusat dan lutut
  • Puasa
  • Menjatuhkan talak

Kita sudah tahu hikmat dan rahasia bersuci dalam solat. Karena itu, wanita yang dalam haid tidak diwajibkan bersholat karena darah itu tidak berhenti dalam masa enam atau tujuh hari. Dalam soal ini, ada dua hikmatnya yaitu :

  • Karena tidak dapat bersuci
  • Karena kasih sayang kepada wanita karena jika diqadakan sholat itu semuanya, tentulah mereka merasa berat hingga tidak dapat membuat pekerjaan lain.

Ada orang berkata : “Kalau demikian, kenapakah puasa tidak digugurkan terus bagi wanita yang haid atau nifas, sebaliknya mereka wajib meng-qadanya ?”

Jawabannya, puasa hanya sekali setahun dan mudah di qada, sedangkan sholat adalah setiap hari dan memang sukar untuk meng-qadanya.




KALIMAH SYAHADAH AKAR UMBI MUSLIM


Syahadah artinya pengakuan atau penyaksian. Setiap orang yang hendak memeluk Islam, terlebih dulu mesti mengucapkan dua Kalimah Syahadah. Orang Islam pula dituntut menyebutnya berulang kali dalam bacaan sholatnya.

Kalimah Syahadah bermaksud : “Aku naik saksi bahwa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku naik saksi bahwa Nabi Muhammad itu Rasul Allah.”

Pengakuan yang mula-mula dinamakan “Syahadah Tauhid”, manakala yang berikutnya dinamakan “Syahadah Rasul”. Kalimah ini bukan saja disebut dengan lidah, tetapi juga harus diyakinkan dalam hati dan diiringi dengan perbuatan segala yang terkandung dalam ajarannya.

Syarat-syarat mengucapkannya adalah :

· Mendahulukan Syahadat Tauhid daripada Syahadah Rasul.

· Memahami arti dan maksudnya dengan sebaik-baiknya.

· Meyakini maksud dan tujuannya.

· Menentang apa saja yang menyalahi maksudnya sama ada dengan hati atau perbuatannya.

Fardhu syahadah ada dua perkara, yaitu mengikrarkannya dengan lidah dan meyakininya dalam hati.

Orang Islam menyatakan kepercayaannya kepada Allah dan Rasul-Nya dengan mengucapkan dua Kalimah Syahadah. Apabila seseorang mengucapkan dua Kalimah Syahadah dengan kerelaan dan kepercayaannya, ia dikira sudah menganut Islam.

Syahadah adalah akar umbi kehidupan seorang Muslim. Ia mudah diucapkan dengan berterus terang. Pengucapannya ringkas saja, tetapi ia mempunyai pengertian yang amat luas.

Pengucapan Syahadah merangkumi dua bagian :

Bagian Pertama :

Orang Islam itu menerima dan mengakui Allah sebagai Tuhannya Yang Maha Esa. Ia juga mengakui Allah tidak ada sekutunya bagi-Nya, malah tiada siapapun yang dapat menyamai Zat, Sifat dan Perbuatan-Nya.

Allah Maha Esa dan Maha Tunggal, tiada tara-Nya. Ia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Ia serba cukup dan Maha Berkuasa.

Bagian Kedua :

Syahadah adalah pengakuan terhadap Nabi Muhammad SAW. Nabi Muhammad adalah seorang manusia seperti kita juga. Baginda diputerakan di Makkah sekitar tahun 517M, yaitu lebih 14 abad lalu.

Ketika berusia 40 tahun, Allah melantik baginda menjadi Pesuruh-Nya. Allah mewahyukan kepada Nabi Muhammad SAW perutusan-Nya dan menyuruh baginda menyampaikannya pula kepada seluruh umat manusia supaya menyembah Allah – Tuhan Yang Mada Esa dan Tuhan yang sebenar-benarnya.

Pengakuan kita menerima Nabi Muhammad SAW selaku Rasulullah itu berarti mengiktiraf baginda sebagai hamba dan pesuruh-Nya.

Kita juga mengakui Nabi Muhammad menerima kitab Al-Quran daripada Allah untuk mengajar seluruh manusia bagaimana hendak hidup di dunia ini supaya menjadi hamba Allah yang sebenar-benarnya.

Kita tidak mungkin mentaati Allah tanpa mengikuti ajaran Rasul dan menerima pimpinan Nabi Muhammad SAW yang dilantik sebagai pesuruh-Nya. Hasil segala ajarannya yang baginda sampaikan, kita kini mengetahui mengenai Allah dan segala ajaran-Nya.

Nabi bukan saja menceritakan mengenai Islam, tetapi baginda sendiri mengamalkannya dengan cara yang amat baik. Dengan cara itu, Nabi dapat menunjukkan kepada kita perkara yang mesti dilakukan dalam hidup ini jika ingin menjadi hamba Allah yang sejati.

Sebagai orang Islam, kita diarahkan supaya mencontohi teladan yang ditinggalkan baginda karena perilaku baginda adalah contoh yang sangat baik untuk diikuti. Kita mesti menerima pimpinannya dan mesti taat kepada Rasul tanpa soal jawab dan ragu-ragu.

Kita mesti mencintai dan menghormati Rasulullah lebih daripada segala-galanya dan inilah maksud kepercayaan kita kepada Nabi.

Syahadah yaitu penyataan keimanan kita itu tidak sekadar pengakuan saja. Penyataan itu adalah sebagai satu kesaksian. Satu-satu Syahadah itu mempunyai makna yang paling penting dalam menyatakan kepercayaan kita terhadap Islam.

Setiap orang yang menjadi saksi mestilah seorang yang melihat kejadian yang berlaku – tidak mungkin ia menjadi saksi yang baik tanpa pengetahuan atau kepercayaan yang pasti. Berbekal pengakuan dan ikrar itu, kita mesti dapat membuktikan dengan kepercayaan yang teguh kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepercayaan kita mestilah benar.

Kita tidak sewajarnya melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kepercayaan kita dan pengakuan yang kita lafazkan. Itulah pengakuan dan ikrar kita yang mesti disaksikan dengan kepercayaan dan keyakinan yang tulus.

Sebagai hamba Allah yang sudah memberikan pengakuan dan penyaksian dengan benar dan jujur, kita hendaklah usahakan supaya kehidupan kita sejajar dengan kepercayaan yang diucapkan.



Wednesday, November 10, 2010

WAJIB BEKERJA HINGGA AJAL MENJELMA


Dalam konteks Islam, manusia dikenakan tanggung jawab atau taklif keagamaan apabila dia mencapai taraf akil dan baligh. Taklif itu berpanjangan ke atasnya sehingga dia meninggal dunia atau hilang akal, atau nyanyuk karena ketuaan.

Islam mewajibkan setiap Muslim yang akil dan baligh sama ada lelaki atau perempuan melakukan dan mengerjakan apa yang diwajibkan oleh Islam. Kewajiban mereka boleh dibagi kepada dua kumpulan yang besar.

Ia adalah kewajiban kearah akhirat yang terangkum didalam peribadatan khas bagi memenuhi tuntutan kerohanian serta kewajiban dan perekonomian bagi memenuhi tuntutan kemasyarakatan.

Dalam perspektif Islam, manusia sebenarnya adalah pekerja atau pengusaha sejak daripada mencapai taraf akil dan baligh sehinggalah kematian datang menjemput mereka. Manusia mendapat sesuatu ganjaran, upah, kurnia, balasan baik atau balasan jahat melalui pekerjaan dan perusahaan yang mereka kerjakan.

Mengenai manusia dan usaha serta ganjaran untuk mereka, dijelaskan dalam Surah An-Najm ayat 39, 40 dan 41 yang bermaksud : “Dan bahwa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya; Dan bahwa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya, pada hari kiamat kelak); Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna.”

Al-Quran menyatakan bahwa manusia yang benar-benar berhajat dan berkehendak mendapat kebahagiaan di akhirat mestilah berusaha melakukan kebaikan dan amalan soleh di dunia ini.

Dalam Surah Al-Isra’ ayat 19 ada menyatakan mengenai usaha baik dan soleh manusia didunia akan membahagiakan mereka di akhirat : “Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya.”

Pekerjaan atau perusahaan yang baik dan soleh adalah sebarang pekerjaan atau perusahaan yang boleh mendatangkan kebaikan kepada individu yang bekerja serta kepada masyarakat. Pekerjaan dan perusahaan yang tidak diharamkan oleh Islam adalah baik.

Banyak jenis pekerjaan dan perusahaan yang baik dan soleh, antaranya adalah pertanian, perikanan, peternakan, perlombongan, perkilangan, perkhidmatan awam, perniagaan, perdagangan, pertahanan, pengangkutan dan lain sebagainya.