Wednesday, December 8, 2010

DOA AKAN TERGANTUNG TANPA SELAWAT UNTUK NABI SAW


“Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya bersalawat (memberi hormat) kepada Nabi SAW (oleh karena itu) wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu (meminta rahmat) untuk Nabi SAW dan ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan terhadapnya.” (al-Ahzab 56).

Bersumberkan dari at Taiyimi katanya : “Apabila mereka berselawat ke atas Nabi SAW maka malaikat pun turut berselawat bersama mereka sehinggalah mereka selesai berselawat.”

Ada banyak kelebihan selawat jika kita mengamalkannya dalam ibadah seharian antaranya :

· Satu kali selawat, Allah akan membalas dengan 10 kali selawat untuknya.

· Satu kali selawat, Allah akan mengangkatnya dengan 10 darjat.

· Malaikat juga akan turut membaca selawat keatas orang yang membaca selawat untuk Rasulullah SAW.

· Doa yang disertai dengan selawat akan diperkenankan Allah Ta’ala tetapi doa yang tidak disertai dengan selawat akan tergantung diantara langit dan bumi.

· Akan mendapat tempat yang dekat dengan Rasulullah SAW dihari kiamat nanti.

· Akan mendapat syafaat daripada Rasulullah SAW dihari kiamat nanti.

· Allah akan menggandakan limpah dan karunia serta rahmat-Nya pada mereka yang berselawat untuk Nabi SAW.

· Dapat membersihkan hati, jiwa dan roh kotor yang berselaput dalam dada.

· Dapat membuktikan kecintaan dan kasih sayang kita terhadap Rasulullah.

· Mewariskan kecintaan Rasulullah terhadap umatnya.

· Akan terselamat dan terpelihara dari segala apa yang menduka citakan dari hal keduniaan mahupun akhirat.

· Dengan membaca selawat dapat mengingatkan kembali apa-apa yang sudah kita lupa.

· Akan mendapat nur yang bersinar-sinar dihari bila kita berselawat 100 kali dengan sungguh-sungguh.

· Mendapat ganjaran pahala seperti memerdekakan seorang hamba apabila kita berselawat sebanyak 10 kali.

· Allah meluas dan melapangkan rezekinya dari sumber yang tidak diketahui.

· Allah memberatkan timbangan amalnya pada neraca timbangan dihari kiamat nanti.

· Mendapat keberkatan dari Allah bagi dirinya dan juga untuk keluarganya.

· Mendapat rasa kasih sayang dari hati-hati orang mukmin terhadapnya.

· Akan mendekatkan dirinya dengan Telaga Haudh (Telaga Rasulullah SAW) serta dapat pula meminumnya dhari kiamat nanti.

· Dapat melepaskan diri seseorang itu dari tergelincir semasa melalui titian Sirat dan ia dengan selamat menuju syurga.

Tuesday, December 7, 2010

BESAR PAHALANYA MENGHORMATI IBU DAN BAPA


Menghormati orang tua sama ada ibu dan bapa, sanak saudara dan sesiapa saja yang mencapai usia tua adalah akhlak mulia.

Amalan ini sebahagian daripada tanda menghargai golongan tua yang banyak berkorban demi mewujudkan suasana selesa yang dinikmati sekarang.

Golongan tua juga dipanggil warga emas, bukti kehidupan usia tua mesti dihargai golongan lain.

Kita perlu menyayangi orang yang banyak berjasa terutama ketika orang tua itu masih hidup dan semakin sampai ke penghujung.

Setiap yang hidup pasti mati. Berikan mereka peluang hidup ketika tua dengan selesa dan gembira.

Pada usia tua segala-galanya berubah. Penglihatan mula kabur, pendengaran semakin hilang, kulit mula berkedut, tenaga tidak lagi gagah dan paling dirasakan apabila menjadi nyanyuk.

Keadaan usia lanjut dinyatakan dalam surah al-Hajj ayat 5 bermaksud : “Dan (dalam pada itu) ada diantara kamu yang dimatikan (ketika kecil atau dewasa) dan ada pula dilanjutkan umur ke peringkat tua serta nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi mengenai sesuatu yang sudah diketahui dulu.”

Sepatutnya tidak sukar menjaga ibu dan bapa yang sudah tua. Seorang ibu boleh menjaga ramai anak, tetapi mengapa ramai anak sukar menjaga seorang ibu atau bapa ?

Memang tidak dinafikan ramai runsing untuk menghadapi usia tua, terutama kaum ibu. Kejadian anak menjadikan ibu seperti orang gaji sering menjadi paparan kisah masyarakat.

Selain itu, ramai golongan tua dihantar ke rumah kebajikan. Perkara ini amat menyedihkan, memandangkan anak bukan tidak mampu menyara dan menjaga ibu dan bapa yang sudah tua, tetapi disebabkan sifat tidak bertanggung jawab mereka berasa rugi memberikan sedikit masa dan uang.

Justru, persiapan awal menghadapi hari tua dengan tenang, ialah mendidik anak menjadi Muslim sejati.

Anak ibarat harta diamanahkan Allah. Sekiranya anak dididik dengan baik, sudah pasti ia memberi keuntungan kepada ibu dan bapa didunia dan akhirat.

Anak yang sholeh berbakti kepada kedua ibu bapa dengan menjaga dan melayan sebaik-baiknya. Menghormati orang tua bukan sekedar terhadap ibu bapa dan orang yang mempunyai pertalian persaudaraan.

Sebaliknya, wajib bagi setiap orang muda menghormati orang tua, tanpa mengira pertalian persaudaraan, kedudukan dan kekayaan.

Sesungguhnya, Rasulullah SAW menjelaskan orang yang tidak menghormati orang tua bukan golongan Muslim. Sabda Rasulullah bermaksud : “Bukanlah dari golongan kami, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami.” (Hadis riwayat Tabrani).

Menghormati orang tua tidak sukar dilakukan. Orang tua bukan inginkan layanan atau perhatian istimewa. Malah, orang tua lebih banyak berkorban demi kepentingan anak dan cucu.

Sikap golongan muda menganggap orang tua membebankan dan mengganggu apa yang dilakukan, melambangkan sikap tidak matang dan lupa diri.

Mereka lupa jasa ibu dan bapa yang mempertaruhkan segala tenaga dan uang semata-mata membesarkan anak. Malah, mereka lupa usia muda tidak kekal selama-lamanya dan akan tiba masanya mereka juga menjadi tua.

Mereka tentu tidak mahu diabaikan apabila usia mencecah tua. Syariat menetapkan mentaati ibu dan bapa satu kewajiban yang perlu dilakukan setiap anak.

Sikap mengabaikan tanggung jawab terhadap ibu dan bapa semakin banyak berlaku dalam masyarakat yang bersandarkan kebebasan bersuara dan tidak mengutamakan syariat agama.

Sikap tidak menghormati ibu dan bapa yang berlaku dalam masyarakat kita sudah ditahap melampau. Dulu tahap tidak menghormati ibu dan bapa merujuk kepada perbuatan tidak mendengar nasihat dan bertikam lidah, bagaimanapun kini ada anak sanggup mendera dan mencederakan ibu dan bapa.

Malah, pernah berlaku anak sanggup membunuh ibu dan bapa disebabkan perkara remeh seperti soal harta pusaka. Kejadian demikian bukan saja menyalahi syariat Islam, bahkan bertentangan dengan amalan masyarakat bertamadun.

Tidak ada masyarakat membenarkan ibu dan bapa dizalimi, walau dengan apa alasan sekalipun. Sesiapa menderhaka terhadap ibu dan bapa, sesungguhnya dia menderhaka kepada Allah. Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Tabrani bermaksud : “Taati kepada Allah adalah taat kepada kedua ibu dan bapa dan derhaka kepada Allah adalah derhaka kepada kedua ibu dan bapa..

Didikan agama adalah cara paling berkesan menghadapi pengaruh ini. Anak terdidik dengan ajaran murni tidak mudah terpengaruh dengan sikap yang bertentangan dengan agama.

Mentaati ibu dan bapa dijadikan asas membentuk individu, keluarga dan seterusnya masyarakat yang berpegang kepada perintah Allah. Hati ibu dan bapa mudah terusik dengan sikap anak tidak menuruti perintah atau melakukan sesuatu yang biadab. Kata-kata kesat, kasar, bantahan dan ugutan anak mudah menjadikan ibu dan bapa sebak dan menitiskan air mata.

Oleh itu, Allah memerintahkan anak bercakap dengan bahasa yang baik dengan ibu dan bapa. Ucapkanlah kata-kata yang memberi kegembiraan kepada ibu dan bapa. Firman Allah bermaksud : “Tuhanmu telah memerintahkan kamu tidak menyembah selain Allah dan hendaklah berbuat baik terhadap kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usia atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau kata “ah” terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut.” (Surah al-Isra, ayat 23).

Sesungguhnya berbuat baik dan menjaga kebajikan ibu dan bapa lebih utama daripada berjuang dimedan perang.

Friday, December 3, 2010

SELAWAT, ISTIGHFAR SEBELUM SHOLAT HAJAT


Setiap orang mempunyai pengharapan yang penting dalam hidupnya. Untuk melaksanakan hajat itu, seseorang perlu memusatkan fikiran, kemahuan dan tenaga serta jiwa yang dimiliknya.

Sholat hajat adalah media yang baik bagi mereka yang berhasrat mencapai hajatnya itu.

Sahabat Jabir bin Auf r.a. berkata, bahawa Rasulullah SAW ketika datang kepada kami bersabda : “Barang siapa mempunyai suatu hajat yang baik kepada seorang sesamanya, hendaklah terlebih dahulu berwuduk dengan sebaik-baiknya, lalu lakukanlah sholat dua rakaat sholat hajat.”

Jika kita dalam keadaan yang susah atau mempunyai sesuatu hajat, sunat untuk kita mengerjakan sholat sunat hajat.

Sholat sunat hajat paling sedikit dikerjakan dua rakaat, tetapi yang terlebih baik dikerjakan sebanyak 12 rakaat (tiap-tiap dua rakaat satu salam). Waktu mengerjakan sholat sunat hajat itu adalah selepas lewat tengah malam, selepas terbangun dari tidur.

Apabila terbangun dari tidur ketika tengah malam, ambillan wuduk, kemudian kerjakan sholat tahajud sebanyak dua rakaat.

Selesai mengerjakan sholat tahajud dan duduk kita masih dalam duduk tawaruk, bacalah istigfar sebanyak 71 kali, yaitu : “Aku memohon ampun kepada Allah, Tuhanku, daripada sekalian dosa dan aku bertaubat kepada Engkau (ya Allah).”

Selepas membaca istighfar, bacalah selawat kepada Nabi SAW sebanyak 71 kali, yaitu : “Ya Allah, berilah kesejahteraan keatas penghulu kami Muhammad, yaitu kesejahteraan yang diridhai dan relakan pulalah dari seluruh sahabat-sahabatnya dengan sebenar-benar kerelaan.”

Kemudian bacalah Al-Fatihah untuk :

· Nabi Muhammad SAW (sekali)

· Ibu dan Bapa (sekali)

· Arwah Kaum Muslimin dan Muslimat (sekali)

· Khusus untuk niat dan maksud kita mengerjakan sholat hajat (sekali)

Kemudian berdirilah semula untuk mengerjakan sholat sunnat, dengan niatnya : “Sengaja aku sholat hajat itu dua rakaat, sunat karena Allah Taala.”

Kerjakan sholat hajat ini dua rakaat, dua rakaat sehinggalah selesai 12 rakaat.

Sebelum salam terakhir, pada rakaat yang ke 12, sujudlah sekali lagi, dalam sujud itu bacalah tasbih sebanyak 41 kali.

“Tiada Tuhan kecuali Engkau (ya Allah), Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku ini adalah dari golongan yang teraniaya.”

Setelah selesai membaca tasbih 41 kali, kita masih tetap dalam keadaan sujud. Teruskanlah sujud itu sambil memohon apa yang dimaksudkan sebelum mengerjakan sholat hajat.

Apabila selesai memohon permintaan yang kita hajatkan, barulah duduk semula, lalu beri salam ke kanan dan ke kiri.

Lakukanlah sholah hajat itu satu malam, tiga malam atau tujuh malam, mengikut pentingnya maksud kita. Insya Allah terkabul.

Selepas melakukannya hendaklah mengucapkan kata-kata pujaan kepada Allah Maha Tinggi dan kata-kata salam serta bahagia kepada Nabi SAW.



Wednesday, December 1, 2010

NIKMAT ALLAH TIDAK TERHINGGA


Nikmat yang dikaruniakan Allah kepada manusia tidak terhitung banyaknya. Jumlahnya tidak dapat disukat dan ditimbang.

Ia jelas dinyatakan oleh Allah dalam firman-Nya bermaksud : “Dan sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, niscaya tidak dapat menghitungnya. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang.” (Surah an-Nahl, ayat 18).

Meneliti kejadian dan kurniaan anggota badan utama pada tubuh manusia seperti kaki, tangan, perut, mulut, telinga, hidung dan mata, sudah cukup untuk kita membuat kesimpulan betapa berkuasa, agung dan murahnya Allah.

Malah, betapa lemah dan tidak berdaya manusia yang menghuni alam yang fana ini.

Anggota badan dijadikan Allah dengan rapi dan lengkap serta bergerak dan berfungsi serentak pada waktu sama. Sambil melihat, kita dapat bercakap, mendengar, menghidu dan berjalan.

Imam Al Ghazali mendefinisikan nikmat itu sebagai setiap kebaikan, kelazatan dan kebahagiaan serta setiap kebahagiaan hidup “ukhrawi” – hari akhirat kekal abadi.

Secara umumnya, nikmat karuniaan Allah kepada setiap orang manusia dapat dibahagikan kepada dua yaitu :

· Nikmat bersifat “fitri” atau asasi yaitu nikmat yang dibawa manusia ketika dilahirkan.

· Nikmat mendatang yaitu nikmat yang diterima dan dirasakan sewaktu-waktu.

Nikmat bersifat fitri atau asasi itu digambarkan Allah dalam firman-Nya bermaksud : “Dan Tuhan melahirkan kamu dari perut ibumu tanpa mengetahui apa-apa pun. Dan (kemudian) diberinya kamu pendengaran, penglihatan dan hati kamu supaya kamu bersyukur – berterima kasih.” (surah an-Nahl, ayat 78).

Sesungguhnya manusia dilahirkan ke dunia dalam keadaan bertelanjang bulat, tetapi dilengkapi dengan alat diperlukan dalam perjuangan hidup ini.

Ayat diatas menyatakan kelengkapan itu adalah telinga, mata dan hati (akal).

Nikmat kedua, yaitu nikmat yang dianggap mendatang itu adalah nikmat segala kenikmatan, kelazatan, kebahagiaan dan sebagainya yang diterima manusia dalam perjalanan hidupnya.

Segala sesuatu yang ada dalam alam ini, bermula daripada tanaman sampailah kepada binatang ternakan dan barang logam, semuanya diperuntukan supaya dapat dimanfaatkan manusia.

Keadaan dan kenyataan itu dijelaskan Allah dengan firman-Nya yang bermaksud : “Dan sebagai tanda untuk mereka adalah bumi yang mati (kering), Kami hidupkan dan Kami keluarkan dari dalamnya buah tanam-tanaman sebahagiannya mereka makan. Dan Kami adakan padanya kebun kurma dan anggur. Dan Kami pancarkan padanya beberapa mata air supaya mereka dapat makan buahnya. Semua itu bukanlah (hanya) usaha tangan mereka. Mengapa mereka tidak bersyukur.” (Surah Yasin, ayar 31 hingga 35).

Lumrahnya, seseorang manusia hanya menyadari nikmat yang dikaruniakan oleh Allah kepadanya apabila nikmat itu hilang atau terlepas daripadanya (dicabut Tuhan kembali).

Syukur dapat diartikan sebagai mengerti bahwa semua nikmat yang ada pada diri seseorang hamba, baik lahir atau batin, semuanya daripada Allah sebagai pemberian daripada-Nya.

Tanda seseorang itu bersyukur adalah apabila gembira wujudnya nikmat pada dirinya, yang melorongkan jalan untuk beramal ibadah dan mendekatkan diri kepada-Nya.

Orang yang bersyukur kepada Allah akan memperbanyakkan ucapan syukur dan terima kasih kepada-Nya. Mereka akan mengerjakan ketaatan kepada Allah dan akan membesarkan nikmatnya sekalipun nikmat itu kecil saja.

Sesungguhnya bersyukur kepada Allah adalah perbuatan wajib keatas setiap manusia. Ini jelas daripada firman-Nya bermaksud : “Syukurlah terhadap nikmat Allah jika kamu sungguh-sungguh menyembah kepada-Nya,: (Surah an-Nahl, ayat 144).

Sebagai umat Islam sewajarnya kita bersyukur dengan nikmat yang diberi Tuhan supaya kita dapat hidup dalam kehidupan Islam sebenar.