Tuesday, December 7, 2010

BESAR PAHALANYA MENGHORMATI IBU DAN BAPA


Menghormati orang tua sama ada ibu dan bapa, sanak saudara dan sesiapa saja yang mencapai usia tua adalah akhlak mulia.

Amalan ini sebahagian daripada tanda menghargai golongan tua yang banyak berkorban demi mewujudkan suasana selesa yang dinikmati sekarang.

Golongan tua juga dipanggil warga emas, bukti kehidupan usia tua mesti dihargai golongan lain.

Kita perlu menyayangi orang yang banyak berjasa terutama ketika orang tua itu masih hidup dan semakin sampai ke penghujung.

Setiap yang hidup pasti mati. Berikan mereka peluang hidup ketika tua dengan selesa dan gembira.

Pada usia tua segala-galanya berubah. Penglihatan mula kabur, pendengaran semakin hilang, kulit mula berkedut, tenaga tidak lagi gagah dan paling dirasakan apabila menjadi nyanyuk.

Keadaan usia lanjut dinyatakan dalam surah al-Hajj ayat 5 bermaksud : “Dan (dalam pada itu) ada diantara kamu yang dimatikan (ketika kecil atau dewasa) dan ada pula dilanjutkan umur ke peringkat tua serta nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi mengenai sesuatu yang sudah diketahui dulu.”

Sepatutnya tidak sukar menjaga ibu dan bapa yang sudah tua. Seorang ibu boleh menjaga ramai anak, tetapi mengapa ramai anak sukar menjaga seorang ibu atau bapa ?

Memang tidak dinafikan ramai runsing untuk menghadapi usia tua, terutama kaum ibu. Kejadian anak menjadikan ibu seperti orang gaji sering menjadi paparan kisah masyarakat.

Selain itu, ramai golongan tua dihantar ke rumah kebajikan. Perkara ini amat menyedihkan, memandangkan anak bukan tidak mampu menyara dan menjaga ibu dan bapa yang sudah tua, tetapi disebabkan sifat tidak bertanggung jawab mereka berasa rugi memberikan sedikit masa dan uang.

Justru, persiapan awal menghadapi hari tua dengan tenang, ialah mendidik anak menjadi Muslim sejati.

Anak ibarat harta diamanahkan Allah. Sekiranya anak dididik dengan baik, sudah pasti ia memberi keuntungan kepada ibu dan bapa didunia dan akhirat.

Anak yang sholeh berbakti kepada kedua ibu bapa dengan menjaga dan melayan sebaik-baiknya. Menghormati orang tua bukan sekedar terhadap ibu bapa dan orang yang mempunyai pertalian persaudaraan.

Sebaliknya, wajib bagi setiap orang muda menghormati orang tua, tanpa mengira pertalian persaudaraan, kedudukan dan kekayaan.

Sesungguhnya, Rasulullah SAW menjelaskan orang yang tidak menghormati orang tua bukan golongan Muslim. Sabda Rasulullah bermaksud : “Bukanlah dari golongan kami, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami.” (Hadis riwayat Tabrani).

Menghormati orang tua tidak sukar dilakukan. Orang tua bukan inginkan layanan atau perhatian istimewa. Malah, orang tua lebih banyak berkorban demi kepentingan anak dan cucu.

Sikap golongan muda menganggap orang tua membebankan dan mengganggu apa yang dilakukan, melambangkan sikap tidak matang dan lupa diri.

Mereka lupa jasa ibu dan bapa yang mempertaruhkan segala tenaga dan uang semata-mata membesarkan anak. Malah, mereka lupa usia muda tidak kekal selama-lamanya dan akan tiba masanya mereka juga menjadi tua.

Mereka tentu tidak mahu diabaikan apabila usia mencecah tua. Syariat menetapkan mentaati ibu dan bapa satu kewajiban yang perlu dilakukan setiap anak.

Sikap mengabaikan tanggung jawab terhadap ibu dan bapa semakin banyak berlaku dalam masyarakat yang bersandarkan kebebasan bersuara dan tidak mengutamakan syariat agama.

Sikap tidak menghormati ibu dan bapa yang berlaku dalam masyarakat kita sudah ditahap melampau. Dulu tahap tidak menghormati ibu dan bapa merujuk kepada perbuatan tidak mendengar nasihat dan bertikam lidah, bagaimanapun kini ada anak sanggup mendera dan mencederakan ibu dan bapa.

Malah, pernah berlaku anak sanggup membunuh ibu dan bapa disebabkan perkara remeh seperti soal harta pusaka. Kejadian demikian bukan saja menyalahi syariat Islam, bahkan bertentangan dengan amalan masyarakat bertamadun.

Tidak ada masyarakat membenarkan ibu dan bapa dizalimi, walau dengan apa alasan sekalipun. Sesiapa menderhaka terhadap ibu dan bapa, sesungguhnya dia menderhaka kepada Allah. Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Tabrani bermaksud : “Taati kepada Allah adalah taat kepada kedua ibu dan bapa dan derhaka kepada Allah adalah derhaka kepada kedua ibu dan bapa..

Didikan agama adalah cara paling berkesan menghadapi pengaruh ini. Anak terdidik dengan ajaran murni tidak mudah terpengaruh dengan sikap yang bertentangan dengan agama.

Mentaati ibu dan bapa dijadikan asas membentuk individu, keluarga dan seterusnya masyarakat yang berpegang kepada perintah Allah. Hati ibu dan bapa mudah terusik dengan sikap anak tidak menuruti perintah atau melakukan sesuatu yang biadab. Kata-kata kesat, kasar, bantahan dan ugutan anak mudah menjadikan ibu dan bapa sebak dan menitiskan air mata.

Oleh itu, Allah memerintahkan anak bercakap dengan bahasa yang baik dengan ibu dan bapa. Ucapkanlah kata-kata yang memberi kegembiraan kepada ibu dan bapa. Firman Allah bermaksud : “Tuhanmu telah memerintahkan kamu tidak menyembah selain Allah dan hendaklah berbuat baik terhadap kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usia atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau kata “ah” terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut.” (Surah al-Isra, ayat 23).

Sesungguhnya berbuat baik dan menjaga kebajikan ibu dan bapa lebih utama daripada berjuang dimedan perang.

No comments: