Wednesday, December 8, 2010

DOA AKAN TERGANTUNG TANPA SELAWAT UNTUK NABI SAW


“Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya bersalawat (memberi hormat) kepada Nabi SAW (oleh karena itu) wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu (meminta rahmat) untuk Nabi SAW dan ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan terhadapnya.” (al-Ahzab 56).

Bersumberkan dari at Taiyimi katanya : “Apabila mereka berselawat ke atas Nabi SAW maka malaikat pun turut berselawat bersama mereka sehinggalah mereka selesai berselawat.”

Ada banyak kelebihan selawat jika kita mengamalkannya dalam ibadah seharian antaranya :

· Satu kali selawat, Allah akan membalas dengan 10 kali selawat untuknya.

· Satu kali selawat, Allah akan mengangkatnya dengan 10 darjat.

· Malaikat juga akan turut membaca selawat keatas orang yang membaca selawat untuk Rasulullah SAW.

· Doa yang disertai dengan selawat akan diperkenankan Allah Ta’ala tetapi doa yang tidak disertai dengan selawat akan tergantung diantara langit dan bumi.

· Akan mendapat tempat yang dekat dengan Rasulullah SAW dihari kiamat nanti.

· Akan mendapat syafaat daripada Rasulullah SAW dihari kiamat nanti.

· Allah akan menggandakan limpah dan karunia serta rahmat-Nya pada mereka yang berselawat untuk Nabi SAW.

· Dapat membersihkan hati, jiwa dan roh kotor yang berselaput dalam dada.

· Dapat membuktikan kecintaan dan kasih sayang kita terhadap Rasulullah.

· Mewariskan kecintaan Rasulullah terhadap umatnya.

· Akan terselamat dan terpelihara dari segala apa yang menduka citakan dari hal keduniaan mahupun akhirat.

· Dengan membaca selawat dapat mengingatkan kembali apa-apa yang sudah kita lupa.

· Akan mendapat nur yang bersinar-sinar dihari bila kita berselawat 100 kali dengan sungguh-sungguh.

· Mendapat ganjaran pahala seperti memerdekakan seorang hamba apabila kita berselawat sebanyak 10 kali.

· Allah meluas dan melapangkan rezekinya dari sumber yang tidak diketahui.

· Allah memberatkan timbangan amalnya pada neraca timbangan dihari kiamat nanti.

· Mendapat keberkatan dari Allah bagi dirinya dan juga untuk keluarganya.

· Mendapat rasa kasih sayang dari hati-hati orang mukmin terhadapnya.

· Akan mendekatkan dirinya dengan Telaga Haudh (Telaga Rasulullah SAW) serta dapat pula meminumnya dhari kiamat nanti.

· Dapat melepaskan diri seseorang itu dari tergelincir semasa melalui titian Sirat dan ia dengan selamat menuju syurga.

Tuesday, December 7, 2010

BESAR PAHALANYA MENGHORMATI IBU DAN BAPA


Menghormati orang tua sama ada ibu dan bapa, sanak saudara dan sesiapa saja yang mencapai usia tua adalah akhlak mulia.

Amalan ini sebahagian daripada tanda menghargai golongan tua yang banyak berkorban demi mewujudkan suasana selesa yang dinikmati sekarang.

Golongan tua juga dipanggil warga emas, bukti kehidupan usia tua mesti dihargai golongan lain.

Kita perlu menyayangi orang yang banyak berjasa terutama ketika orang tua itu masih hidup dan semakin sampai ke penghujung.

Setiap yang hidup pasti mati. Berikan mereka peluang hidup ketika tua dengan selesa dan gembira.

Pada usia tua segala-galanya berubah. Penglihatan mula kabur, pendengaran semakin hilang, kulit mula berkedut, tenaga tidak lagi gagah dan paling dirasakan apabila menjadi nyanyuk.

Keadaan usia lanjut dinyatakan dalam surah al-Hajj ayat 5 bermaksud : “Dan (dalam pada itu) ada diantara kamu yang dimatikan (ketika kecil atau dewasa) dan ada pula dilanjutkan umur ke peringkat tua serta nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi mengenai sesuatu yang sudah diketahui dulu.”

Sepatutnya tidak sukar menjaga ibu dan bapa yang sudah tua. Seorang ibu boleh menjaga ramai anak, tetapi mengapa ramai anak sukar menjaga seorang ibu atau bapa ?

Memang tidak dinafikan ramai runsing untuk menghadapi usia tua, terutama kaum ibu. Kejadian anak menjadikan ibu seperti orang gaji sering menjadi paparan kisah masyarakat.

Selain itu, ramai golongan tua dihantar ke rumah kebajikan. Perkara ini amat menyedihkan, memandangkan anak bukan tidak mampu menyara dan menjaga ibu dan bapa yang sudah tua, tetapi disebabkan sifat tidak bertanggung jawab mereka berasa rugi memberikan sedikit masa dan uang.

Justru, persiapan awal menghadapi hari tua dengan tenang, ialah mendidik anak menjadi Muslim sejati.

Anak ibarat harta diamanahkan Allah. Sekiranya anak dididik dengan baik, sudah pasti ia memberi keuntungan kepada ibu dan bapa didunia dan akhirat.

Anak yang sholeh berbakti kepada kedua ibu bapa dengan menjaga dan melayan sebaik-baiknya. Menghormati orang tua bukan sekedar terhadap ibu bapa dan orang yang mempunyai pertalian persaudaraan.

Sebaliknya, wajib bagi setiap orang muda menghormati orang tua, tanpa mengira pertalian persaudaraan, kedudukan dan kekayaan.

Sesungguhnya, Rasulullah SAW menjelaskan orang yang tidak menghormati orang tua bukan golongan Muslim. Sabda Rasulullah bermaksud : “Bukanlah dari golongan kami, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami.” (Hadis riwayat Tabrani).

Menghormati orang tua tidak sukar dilakukan. Orang tua bukan inginkan layanan atau perhatian istimewa. Malah, orang tua lebih banyak berkorban demi kepentingan anak dan cucu.

Sikap golongan muda menganggap orang tua membebankan dan mengganggu apa yang dilakukan, melambangkan sikap tidak matang dan lupa diri.

Mereka lupa jasa ibu dan bapa yang mempertaruhkan segala tenaga dan uang semata-mata membesarkan anak. Malah, mereka lupa usia muda tidak kekal selama-lamanya dan akan tiba masanya mereka juga menjadi tua.

Mereka tentu tidak mahu diabaikan apabila usia mencecah tua. Syariat menetapkan mentaati ibu dan bapa satu kewajiban yang perlu dilakukan setiap anak.

Sikap mengabaikan tanggung jawab terhadap ibu dan bapa semakin banyak berlaku dalam masyarakat yang bersandarkan kebebasan bersuara dan tidak mengutamakan syariat agama.

Sikap tidak menghormati ibu dan bapa yang berlaku dalam masyarakat kita sudah ditahap melampau. Dulu tahap tidak menghormati ibu dan bapa merujuk kepada perbuatan tidak mendengar nasihat dan bertikam lidah, bagaimanapun kini ada anak sanggup mendera dan mencederakan ibu dan bapa.

Malah, pernah berlaku anak sanggup membunuh ibu dan bapa disebabkan perkara remeh seperti soal harta pusaka. Kejadian demikian bukan saja menyalahi syariat Islam, bahkan bertentangan dengan amalan masyarakat bertamadun.

Tidak ada masyarakat membenarkan ibu dan bapa dizalimi, walau dengan apa alasan sekalipun. Sesiapa menderhaka terhadap ibu dan bapa, sesungguhnya dia menderhaka kepada Allah. Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Tabrani bermaksud : “Taati kepada Allah adalah taat kepada kedua ibu dan bapa dan derhaka kepada Allah adalah derhaka kepada kedua ibu dan bapa..

Didikan agama adalah cara paling berkesan menghadapi pengaruh ini. Anak terdidik dengan ajaran murni tidak mudah terpengaruh dengan sikap yang bertentangan dengan agama.

Mentaati ibu dan bapa dijadikan asas membentuk individu, keluarga dan seterusnya masyarakat yang berpegang kepada perintah Allah. Hati ibu dan bapa mudah terusik dengan sikap anak tidak menuruti perintah atau melakukan sesuatu yang biadab. Kata-kata kesat, kasar, bantahan dan ugutan anak mudah menjadikan ibu dan bapa sebak dan menitiskan air mata.

Oleh itu, Allah memerintahkan anak bercakap dengan bahasa yang baik dengan ibu dan bapa. Ucapkanlah kata-kata yang memberi kegembiraan kepada ibu dan bapa. Firman Allah bermaksud : “Tuhanmu telah memerintahkan kamu tidak menyembah selain Allah dan hendaklah berbuat baik terhadap kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usia atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau kata “ah” terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut.” (Surah al-Isra, ayat 23).

Sesungguhnya berbuat baik dan menjaga kebajikan ibu dan bapa lebih utama daripada berjuang dimedan perang.

Friday, December 3, 2010

SELAWAT, ISTIGHFAR SEBELUM SHOLAT HAJAT


Setiap orang mempunyai pengharapan yang penting dalam hidupnya. Untuk melaksanakan hajat itu, seseorang perlu memusatkan fikiran, kemahuan dan tenaga serta jiwa yang dimiliknya.

Sholat hajat adalah media yang baik bagi mereka yang berhasrat mencapai hajatnya itu.

Sahabat Jabir bin Auf r.a. berkata, bahawa Rasulullah SAW ketika datang kepada kami bersabda : “Barang siapa mempunyai suatu hajat yang baik kepada seorang sesamanya, hendaklah terlebih dahulu berwuduk dengan sebaik-baiknya, lalu lakukanlah sholat dua rakaat sholat hajat.”

Jika kita dalam keadaan yang susah atau mempunyai sesuatu hajat, sunat untuk kita mengerjakan sholat sunat hajat.

Sholat sunat hajat paling sedikit dikerjakan dua rakaat, tetapi yang terlebih baik dikerjakan sebanyak 12 rakaat (tiap-tiap dua rakaat satu salam). Waktu mengerjakan sholat sunat hajat itu adalah selepas lewat tengah malam, selepas terbangun dari tidur.

Apabila terbangun dari tidur ketika tengah malam, ambillan wuduk, kemudian kerjakan sholat tahajud sebanyak dua rakaat.

Selesai mengerjakan sholat tahajud dan duduk kita masih dalam duduk tawaruk, bacalah istigfar sebanyak 71 kali, yaitu : “Aku memohon ampun kepada Allah, Tuhanku, daripada sekalian dosa dan aku bertaubat kepada Engkau (ya Allah).”

Selepas membaca istighfar, bacalah selawat kepada Nabi SAW sebanyak 71 kali, yaitu : “Ya Allah, berilah kesejahteraan keatas penghulu kami Muhammad, yaitu kesejahteraan yang diridhai dan relakan pulalah dari seluruh sahabat-sahabatnya dengan sebenar-benar kerelaan.”

Kemudian bacalah Al-Fatihah untuk :

· Nabi Muhammad SAW (sekali)

· Ibu dan Bapa (sekali)

· Arwah Kaum Muslimin dan Muslimat (sekali)

· Khusus untuk niat dan maksud kita mengerjakan sholat hajat (sekali)

Kemudian berdirilah semula untuk mengerjakan sholat sunnat, dengan niatnya : “Sengaja aku sholat hajat itu dua rakaat, sunat karena Allah Taala.”

Kerjakan sholat hajat ini dua rakaat, dua rakaat sehinggalah selesai 12 rakaat.

Sebelum salam terakhir, pada rakaat yang ke 12, sujudlah sekali lagi, dalam sujud itu bacalah tasbih sebanyak 41 kali.

“Tiada Tuhan kecuali Engkau (ya Allah), Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku ini adalah dari golongan yang teraniaya.”

Setelah selesai membaca tasbih 41 kali, kita masih tetap dalam keadaan sujud. Teruskanlah sujud itu sambil memohon apa yang dimaksudkan sebelum mengerjakan sholat hajat.

Apabila selesai memohon permintaan yang kita hajatkan, barulah duduk semula, lalu beri salam ke kanan dan ke kiri.

Lakukanlah sholah hajat itu satu malam, tiga malam atau tujuh malam, mengikut pentingnya maksud kita. Insya Allah terkabul.

Selepas melakukannya hendaklah mengucapkan kata-kata pujaan kepada Allah Maha Tinggi dan kata-kata salam serta bahagia kepada Nabi SAW.



Wednesday, December 1, 2010

NIKMAT ALLAH TIDAK TERHINGGA


Nikmat yang dikaruniakan Allah kepada manusia tidak terhitung banyaknya. Jumlahnya tidak dapat disukat dan ditimbang.

Ia jelas dinyatakan oleh Allah dalam firman-Nya bermaksud : “Dan sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, niscaya tidak dapat menghitungnya. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang.” (Surah an-Nahl, ayat 18).

Meneliti kejadian dan kurniaan anggota badan utama pada tubuh manusia seperti kaki, tangan, perut, mulut, telinga, hidung dan mata, sudah cukup untuk kita membuat kesimpulan betapa berkuasa, agung dan murahnya Allah.

Malah, betapa lemah dan tidak berdaya manusia yang menghuni alam yang fana ini.

Anggota badan dijadikan Allah dengan rapi dan lengkap serta bergerak dan berfungsi serentak pada waktu sama. Sambil melihat, kita dapat bercakap, mendengar, menghidu dan berjalan.

Imam Al Ghazali mendefinisikan nikmat itu sebagai setiap kebaikan, kelazatan dan kebahagiaan serta setiap kebahagiaan hidup “ukhrawi” – hari akhirat kekal abadi.

Secara umumnya, nikmat karuniaan Allah kepada setiap orang manusia dapat dibahagikan kepada dua yaitu :

· Nikmat bersifat “fitri” atau asasi yaitu nikmat yang dibawa manusia ketika dilahirkan.

· Nikmat mendatang yaitu nikmat yang diterima dan dirasakan sewaktu-waktu.

Nikmat bersifat fitri atau asasi itu digambarkan Allah dalam firman-Nya bermaksud : “Dan Tuhan melahirkan kamu dari perut ibumu tanpa mengetahui apa-apa pun. Dan (kemudian) diberinya kamu pendengaran, penglihatan dan hati kamu supaya kamu bersyukur – berterima kasih.” (surah an-Nahl, ayat 78).

Sesungguhnya manusia dilahirkan ke dunia dalam keadaan bertelanjang bulat, tetapi dilengkapi dengan alat diperlukan dalam perjuangan hidup ini.

Ayat diatas menyatakan kelengkapan itu adalah telinga, mata dan hati (akal).

Nikmat kedua, yaitu nikmat yang dianggap mendatang itu adalah nikmat segala kenikmatan, kelazatan, kebahagiaan dan sebagainya yang diterima manusia dalam perjalanan hidupnya.

Segala sesuatu yang ada dalam alam ini, bermula daripada tanaman sampailah kepada binatang ternakan dan barang logam, semuanya diperuntukan supaya dapat dimanfaatkan manusia.

Keadaan dan kenyataan itu dijelaskan Allah dengan firman-Nya yang bermaksud : “Dan sebagai tanda untuk mereka adalah bumi yang mati (kering), Kami hidupkan dan Kami keluarkan dari dalamnya buah tanam-tanaman sebahagiannya mereka makan. Dan Kami adakan padanya kebun kurma dan anggur. Dan Kami pancarkan padanya beberapa mata air supaya mereka dapat makan buahnya. Semua itu bukanlah (hanya) usaha tangan mereka. Mengapa mereka tidak bersyukur.” (Surah Yasin, ayar 31 hingga 35).

Lumrahnya, seseorang manusia hanya menyadari nikmat yang dikaruniakan oleh Allah kepadanya apabila nikmat itu hilang atau terlepas daripadanya (dicabut Tuhan kembali).

Syukur dapat diartikan sebagai mengerti bahwa semua nikmat yang ada pada diri seseorang hamba, baik lahir atau batin, semuanya daripada Allah sebagai pemberian daripada-Nya.

Tanda seseorang itu bersyukur adalah apabila gembira wujudnya nikmat pada dirinya, yang melorongkan jalan untuk beramal ibadah dan mendekatkan diri kepada-Nya.

Orang yang bersyukur kepada Allah akan memperbanyakkan ucapan syukur dan terima kasih kepada-Nya. Mereka akan mengerjakan ketaatan kepada Allah dan akan membesarkan nikmatnya sekalipun nikmat itu kecil saja.

Sesungguhnya bersyukur kepada Allah adalah perbuatan wajib keatas setiap manusia. Ini jelas daripada firman-Nya bermaksud : “Syukurlah terhadap nikmat Allah jika kamu sungguh-sungguh menyembah kepada-Nya,: (Surah an-Nahl, ayat 144).

Sebagai umat Islam sewajarnya kita bersyukur dengan nikmat yang diberi Tuhan supaya kita dapat hidup dalam kehidupan Islam sebenar.

Sunday, November 28, 2010

KAEDAH MENCEGAH KANSER (Part 2)


Dibanyak negara, kanser menjadi pembunuh nombor satu. Berikut ini beberapa garis panduan yang boleh digunakan dalam usaha mencegah bahaya kanser.

  1. Gunakan minyak sayur-sayuran yang sesuai secara sederhana. Hadkan pengambilan makanan berlemak terutamanya dari sumber hewan. Diet yang tinggi lemak mendedahkan kepada resiko kanser paru-paru, kolon, payudara dan prostat. Jika ingin menambah lemak dalam makanan, gantikan dengan minyak sayur-sayuran.

  1. Kurangkan pengambilan makanan bergaram dan garam dalam hidangan. Gunakan herba dan rempah sebagai bahan perasa. Kandungan garam yang tinggi boleh menyebabkan kanser perut.

  1. Jangan makan makanan yang tercemar dengan kulat. Makanan yang tercemar dengan aflatokesin dan mikroorganisma kulat mengundang bahaya kanser hati. Ini mungkin karena makanan itu disimpan terlalu lama dalam keadaan panas atau lembab atau karena melebihi tempoh masa berlakunya.

  1. Simpan makanan yang cepat rusak dalam peti sejuk. Ada kajian membuktikan menyejukan dapat mengurangkan keperluan garam sebagai pengawet dan sekaligus mengurangkan resiko kanser perut.

  1. Kurangkan makanan yang disalai. Memadai ambil sekali-sekala makanan (daging atau ikan) yang disalai atas api serta daging yang diawetkan dan diasapkan. Makanan salai terutama daging dan ikan boleh mengakibatkan pengeluaran sebatian heterocyclic aromatic yang boleh menyebabkan kanser. Makanan yang diawet dengan nitrit pula mempunyai nitrosamina yang juga berpotensi menyebabkan kanser. Sebatian lain yang berbahaya akibat pembakaran kayu ditemui dalam makanan yang diasapkan. Bagaimanapun kaedah memasak dengan suhu rendah seperti mengukus, merebus, mereneh, membakar dan memanggang dianggap baik untuk kesehatan.

  1. Jangan merokok atau mengunyah tembakau. Tembakau adalah penyebab utama kanser paru-paru dan berkemungkinan menyebabkan kanser mulut, kerongkongan dan system penghadaman.

  1. Tidak perlu diet supplemen bagi yang patuh kepada saranan diatas, anda mungkin tidak perlu lagi makanan tambahan yang kaya beta-karotena, vitamin C dan selenium yang boleh mencegah kanser. Para penyelidik sendiri tidak menyarankan pengambilan supplemen sebagai usaha mencegah kanser, karena supplemen yang menggabungkan pelbagai kombinasi dan dos belum dijamin berkesan. Sebaliknya, makanan yang kaya khasiat dan sebatian terutama sekali buah-buahan dan sayur-sayuran lebih diutamakan.



Saturday, November 27, 2010

KAEDAH MENCEGAH KANSER (Part 1)

Dibanyak negara, kanser menjadi pembunuh nombor satu. Berikut ini beberapa garis panduan yang boleh digunakan dalam usaha mencegah bahaya kanser.

  1. Pilih diet yang berasaskan tumbuh-tumbuhan dan sayur-sayuran, buah-buahan kekacang serta kurangkan pengambilan makanan ruji berkanji yang diproses. Makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan dianggap diet paling baik untuk mencegah kanser. Para pakar membuktikan kandungan vitamin, galian, serat, fitokimia dan sebatian lain dalam sayur-sayuran dan buah-buahan mampu melindungi daripada serangan kanser. Makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan juga rendah kalori dan ini membawa mencegah kegemukan yang merupakan salah satu punca kanser.

  1. Dapatkan berat badan ideal. Elakkan daripada mengalami kekurangan berat badan atau berlebihan berat badan. Ini karena kegemukan boleh meningkatkan resiko endometrium (membran mucus yang mengalas rahim). Ia juga boleh meningkatkan resiko kanser payudara dan kanser buah pinggang. Selain itu, elakkan juga kenaikkan berat badan mendadak selepas usia 18 tahun karena ia beresiko besar.

  1. Jangan duduk sahaja ditempat kerja. Lakukan “latihan” berjalan selama satu jam atau senaman seumpamanya setiap hari. Lakukan senaman sekurang-kurangnya satu jam. Para pakar menyatakan aktiviti fisikal yang kerap dapat membantu mencegah kanser kolon, kanser payudara dan kanser paru-paru. Aktiviti fisikal juga membantu mengawal berat badan dan mencegah kanser yang dikaitkan dengan kegemukan.

  1. Dalam sehari, ambil lima atau lebih hidangan yang terdiri daripada sayur-sayuran dan buah-buahan. Pengambilan makanan begini dapat melindungi daripada banyak jenis kanser seperti paru-paru, kolon, perut, mulut, farinks, esophagus, payudara, hempedu, larinks dan pankreas.

  1. Kurangkan pengambilan makanan dan gula yang diproses. Makan lebih daripada tujuh hidangan yang terdiri daripada pelbagai bijirin, kekacang, tumbuhan berakar dan berubi. Pakar pemakanan menyatakan, bahagian terbesar diet sepatutnya datang daripada makanan ini. Jika diproses secara minimum, makanan seperti bijirin dan nasi, menawarkan banyak serat dan zat makanan penting. Makanan berubi seperti kentang dan keledak, makanan berakar seperti lobak, pula dikaitkan sebagai pelindung kanser. Kekacang pula merupakan makanan kaya protein dan sumber tambahan dalam diet mencegah kanser.

  1. Hentikan pengambilan alkohol bagi orang Islam, alkohol memang dilarang sama sekali. Ketahuilah, alkohol boleh meningkatkan resiko kanser mulut, farinks, larinks, esophagus, hati, kolon, rectum dan payudara.

  1. Hadkan pengambilan daging merah kepada kurang daripada tiga auns sehari. Seelok-eloknya pilih ikan, ayam atau daging yang bukan daripada haiwan ternakan untuk menggantikan daging merah. Pengambilan daging merah (daging lembu, kambing, biri-biri dan seumpamanya) meningkatkan resiko kanser kolon, rectum, payudara, prostat dan buah pinggang. Malah kandungan lemak yang tinggi dalam daging merah juga boleh menyebabkan banyak kanser lain.

Saturday, November 20, 2010

KASIH ABU UBAIDAH AL-JARRAH KEPADA RASULULLAH


Abu Ubaidah melihat dua mata rantai baju besi penutup kepada Rasulullah melekat pada kedua-dua belah pipinya.

Abu Ubaidah tidak dapat menahan hatinya lagi, dia segera menggigit satu daripada mata rantai itu dengan giginya lalu menariknya dengan kuat dari pada pipi Rasulullah sehingga tercabut keluar.

Ketika itu juga gigi Abu Ubaidah tercabut akibat menarik rantai yang tajam itu. Lalu ditariknya kedua-dua mata rantai itu dan tercabut sebatang lagi giginya.

Abu Bakar As-Siddiq menceritakan peristiwa itu dengan kata-katanya seperti berikut :

“Sewaktu Perang Uhud dan Rasulullah SAW ditimpa anak panah hingga dua mata rantai tajam menusuk bahagian atas kedua-dua belah pipinya, saya segera berlari mendapatkan Rasulullah SAW.

“Tetapi ada seseorang datang bagaikan terbang dari timur, maka kataku : Ya Allah semoga ini adalah pertolongan dan ketika kami sampai kepada Rasulullah, orang itu adalah Abu Ubaidah yang mendahului aku kesana, serta katanya :

“Atas nama Allah saya meminta kepada anda wahai Abu Bakar, supaya biarkan saya mencabutkannya daripada pipi Rasulullah !.

“Sayapun membiarkannya, maka dengan giginya, Abu Ubaidah mencabutnya daripada pipi Rasulullah satu demi satu mata rantai itu sehingga kedua-duanya tercabut, menyebabkan Abu Ubaidah kelihatan dihadapan orang mempunyai gigi yang lompang !”

Ketika bertambah besar dan luasnya tanggung jawab sahabat, maka amanah dan kejujuran Abu Ubaidah turut meningkat.

Dalam ekspedisi “Daun Khabath’ Abu Ubaidah ditugaskan Nabi SAW memimpin lebih daripada 300 orang prajurit yang dibekalkan tidak lebih daripada sebakul kurma, sedangkan tugas sukar dan jarak yang ditempuhi jauh pula, Abu Ubaidah menerima perintah itu dengan taat dan gembira.

Bersama anak buahnya, dia pergi ke tempat yang dituju dan bekalan setiap prajurit setiap harinya hanyalah segenggam kurna dan selepas habis maka bahagian masing-masing hanyalah sebuah kurma sehari.

Ketika habis semua sekali, mereka mulai mencari daun kayu yang disebut khabath, lalu mereka tumbuk hingga halus seperti tepung dengan menggunakan senjata.

Selain daun itu yang dijadikan makanan, mereka menggunakan daun itu sebagai bekas untuk air minum, itulah sebabnya ekspedisi itu disebut ekspedisi Daun Khabath.

Mereka terus maju tanpa menghiraukan lapar dan dahaga serta tidak ada tujuan mereka kecuali menyelesaikan tugas mulia yang diutuskan Rasulullah SAW kepada mereka. Rasulullah SAW amat sayang kepada Abu Ubaidah sebagai orang kepercayaan Ummah.

PUJI ALLAH, HINDARI SIFAT RIAK


Nabi Muhammad SAW mengingatkan umatnya berhubung empat perkara yaitu :

· Banyakkan menyebut nama Allah daripada menyebut makhluk

Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji orang berbuat baik kepada kita sehingga kita terlupa nikmat itu dikaruniakan oleh Allah.

Kita sering terlupa memuji dan menyebut nama Allah SWT. Makhluk yang berbuat baik sedikit dipuji, tetapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan, kita terlupa.

Sebaik-baiknya, elok basahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapkan Alhamdulillah hanya apabila sudah kenyang saja. Pujian yang sebegini hanya dilidah saja, sedangkan tidak dihati.

Banyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia. Dunia terlalu sedikit berbanding dengan akhirat. Sesungguhnya 1,000 tahun di dunia adalah setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat.

Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding dengan akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada nikmat di akhirat. Begitu juga siksa dan kepayahan hidup didunia hanya 1/100 daripada siksa di akhirat.

· Banyakkan menyebut dan mengingat hal kematian daripada hal kehidupan

Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara, tetapi jarang memikirkan bekalan hidup ketika mati.

Memikirkan mati adalah sunnat karena dengan berbuat demikian kita menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke akhirat.

Perjalanan yang jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang amat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan ketika hidup didunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat.

Kalau kita tidak usahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat ?.

Dalam hubungan ini eloklah kita mencontohi sikap Saidina Ali. Walaupun sudah terjamin syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat sekali tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya.

Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dosa ?

· Jangan menyebut kebaikan diri dan keluarga

Syaitan sentiasa hendak memerangkap kita dengan menyuruh atau membisikan kepada kita supaya sentiasa ingat atau menyebut kebaikan yang kita lakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat.

Kebaikan yang dibuat, kita sebut selalu bak pepatah “ayam bertelur sebiji riuah sekampung”.

Kita terlupa dengan menyebut dan mengingatkan kebaikan kita itu sudah menimbulkan satu penyakit hati, yaitu ujub.

Penyakit ujub ibarat api dalam sekam yang boleh merusakkan pahala kebajikan yang kita buat.

Lebih dahsyat lagi, jika menimbulkan riak atau bangga diri. Allah memberi amaran sesiapa yang memakai sifat-Nya (riak) tidak mencium bau syurga.

Riak adalah satu unsur syirik (khafi). Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita kepada orang lain.

Kita perlu sadar perbuatan buat baik yang ada pada diri kita itu sebenarnya datang daripada Allah.

Allah yang menyuruh kita berbuat baik. Jadi kita patut bersyukur kepada Allah karena menjadikan kita orang baik, bukannya mendabik dada mengatakan kita orang baik.

Kita terlupa kepada Allah yang mengkaruniakan kebaikan itu.

· Jangan menyebut dan memperlihatkan keaiban atau memburukan diri orang lain

Kegelapan hati ditambah dengan rangsangan syaitan menyebabkan diri kita menyebut kesalahan dan kekurangan orang lain.

Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri kita sendiri.

Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan diri.

Menuding jari mengatakan orang lain tidak betul sebenarnya memberi isyarat kita sendiri tidak betul.

Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang, satu jari ke arah orang itu, tetapi empat lagi jari menudin ke arah diri kita.

Bermakna bukan orang itu yang buruk, malah diri kita lebih buruk daripadanya. Oleh karena itu, biasakan diri kita melihat keburukan diri kita sendiri dan bukannya keburukan orang lain.

TAYAMMUM MEMUDAHKAN


Cara tayammum adalah memulakan dengan membaca Bismillah sambil meniatkan untuk mengharuskan pekerjaan yang dimaksudkan dengan tayammum itu.

Kemudian dengan kedua tapak tangan ditekapkan ke atas debu tanah – tidak mengapa jika debu yang lekat cuma sedikit, setelah ditiup atau dilaga-lagakan kedua-dua tangan untuk menipiskan debu-debu yang melekat padanya, lalu disapukan kemuka sekali saja.

Kemudian tapak tangan itu ditepuk-tepukkan terlebih dulu untuk membuang debu yang sudah terpakai. Selepas itu, ditekapkan sekali lagi pada debu tadi, lalu ditipiskan seperti langkah awal dan kemudian, tapak tangan kiri menyapu tangan kanan sehingga ke siku manakala tapak tangan kanan menyapu tangan kiri hingga ke siku.

Ada tiga perkara yang membatalkan tayammum adalah :

  • Berlaku sesuatu daripada perkara-perkara yang membatalkan wuduk.
  • Melihat air atau sudah mendapat air, jika ia bertayammum karena ketiadaan air.
  • Murtad – keluar daripada Islam.

Daripada Abu Zar r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Tanah itu cukup untukmu bersuci walaupun engkau tidak mendapat air sampai 10 tahun, tetapi apabila engkau memperolehi air, hendaklah engkau sentuhkan air itu ke kulitmu.” (Riwayat Termidzi).

Bagi orang berhadas besar yang hendak menghilangkan hadasnya sedangkan ada anggotanya yang tidak boleh terkena air, ia hendaklah meratakan air ke seluruh anggota tubuh badannya, kecuali anggota yang tidak boleh terkena air.

Caranya sama ada bertayammum dulu kemudian membasuh anggota lain atau membasuh anggota lain dulu sebelum bertayammum. Kedua-dua cara ini boleh dilakukan karena tiada disyaratkan tertib bagi mengangkat hadas besar karena dari segi hukum, seluruh badan adalah seperti satu anggota saja.

Bagi yang berhadas kecil yang hendak mengangkat hadasnya, ia hendaklah bertayammum ke atas anggotanya yang tidak boleh terkena air apabila tiba giliran membasuh anggota itu karena mengikut tertib.

Jika sekiranya ada dua anggota wuduk yang tidak boleh terkena air, maka ia wajib bertayammum dua kali, begitu juga dengan tiga anggota. Tetapi, jika keempat-empat anggota wuduknya tidak boleh terkena air, hanya satu tayammum saja yang wajib sebagai ganti wuduk.

Hukum agama kita mengandungi hikmatnya, sama ada yang mampu dilihat secara nyata atau tidak. Karena itu, segala hikmat itu tidak dikaitkan dengan hukum agama karena sama ada hikmat itu kelihatan atau tidak, hukum agama tetap berterusan.

Ulama kita membahagikan hukum agama itu kepada dua bahagian yaitu Ma’quli yaitu yang dapat dilihat hikmatnya serta Ta’abbudi yaitu hikmat yang tersembunyi.

Tayammum termasuk dalam bahagian Ta’abuddi, yaitu perbuatan yang tidak diterangkan hikmatnya tetapi hanya diketahui semata-mata syaratnya saja yaitu supaya sholat tidak ditinggalkan karena tiada air.

Ketiadaan air bukan alasan untuk orang meninggalkan sholat, lebih-lebih lagi jika keadaaan itu hanya berlaku sementara saja. Mengikut hukum, sholat tidak boleh ditinggalkan walau macam mana keadaan yang kita hadapi.

Jaid untuk memelihara sholat supaya tidak ditinggalkan, agama memberi kesempatan kepada kita menggantikan wuduk dengan tayammum, untuk membuktikan taat setia kita kepada Allah.

Tuhan tidak menjadikan keberatan kepada kita dalam agama supaya kita dapat melaksanakan ibadah itu dengan mudah. Contohnya, sholat disyaratkan mesti bersuci dengan air, maka boleh diganti dengan tanah.

Tayammum memiliki dua hikmat terbesar yaitu :

  • Menghinakan diri yang condong kepada kejahatan dengan meletakkan tanah ke muka, yaitu anggota yang paling mulia.
  • Menyatakan kemuliaan, syariat Nabi Muhammad SAW karena tayammum itu tidak dilakukan pada masa umat terdahulu. Ia adalah satu kemudahan dari Tuhan supaya kita dapat terus menunaikan kewajiban.

Tuesday, November 16, 2010

10 PERKARA SEBABKAN DOA TIDAK DIMAKBUL


Apabila menjawab soalan penduduk Basrah mengenai kenapa nasib mereka tetap serupa walaupun selalu berdoa kepada Allah, ulama sufi, Ibrahim bin Adham, berkata : “Sesungguhnya ketahuilah oleh kamu bahwa ada 10 sebab doa itu ditolak, antaranya :

  • Kamu mengaku mengenali Allah, tetapi kamu tidak memenuhi hak-Nya (Hak-hak Allah adalah disembah serta mengikut segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya).
  • Kamu mengaku mencintai Rasulullah SAW tetapi kamu tidak pernah mengikut Sunnahnya.
  • Kamu membaca Al-Quran, tetapi kamu tidak mengamalkan isi kandungannya.
  • Kamu mengaku syaitan adalah musuh kamu, tetapi kamu patuh kepadanya.
  • Kamu berdoa memohon dijauhi api neraka, tetapi kamu mendekatinya dnegan selalu berbuat maksiat.
  • Kamu berdoa memohon semoga dimasukkan ke dalam syurga, tetapi kamu tidak berusaha untuknya.
  • Kamu mengetahui bahwa kematian itu pasti tetapi kamu tidak bersiap sedia untuknya.
  • Kamu selalu membuka keaiban saudara kamu, tetapi kamu tidak melihat keaiban diri kamu sendiri.
  • Kamu memakan segala rezeki dan nikmat Allah, tetapi kamu tidak mensyukurinya.
  • Kamu mengkebumikan orang yang meninggal dunia, tetapi kamu tidak mengambil iktibar daripada kematiannya.

Sesungguhnya, kemungkinan satu daripada perkara itu menjadi punca doa kamu tidak di makbulkan.




TUTUP AURAT JAGA MARUAH WANITA


Apabila wanita menjaga auratnya daripada pandangan lelaki bukan muhrim, bukan saja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal karena syariat menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Jika dibuat perbandingan dari segi harta di dunia seperti intan dan berlian, ia dibungkus dengan rapi dan disimpan didalam peti besi berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita karena wanita bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum.

Mereka masih boleh tampil dihadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh mengenai pakaian wanita, semakin ramai wanita menjaga auratnya dengan sekurang-kurangnya memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah berlaku dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan sama ada pelajar sekolah atau kaki tangan pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna jika masih menampakkan leher atau dada. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat. Pelbagai warna dan perbagai fesyen tudung turut direkan untuk wanita Islam masa kini.

Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok didalamnya, dihias pula dengan kerongsang yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula diatasnya. Malah, perbagai lagi gaya dipaparkan dalam majalah dan akhbar fesyen untuk tudung.

Rekaan itu semuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah keatas wanita. Sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu bukan saja menutup auratnya malah turut menutup maruahnya sebagai wanita.

Ia adalah pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita serta tidak berhias yang boleh menjadikannya daya tarikan kepada lelaki bukan mahramnya. Pakaian sedemikian boleh melindungi wanita daripada menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggung jawab.

Apabila wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, terjadilah pakaian wanita Islam sekarang. Walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sikap sombong makin bertambah sambil berjalan mendabik dada karena terasa tudung sendiri paling cantik, sofistikated, bergaya dan ada kelas.

Akibatnya, tudung yang dipakai tidak memantulkan rasa kehambaan. Kita tidak berasa diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa menegakkan syariat dengan bertudung hanya satu amalan kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa mesti memperagakan diri dan berbangga dengan memakai tudung ?.

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada yang bertudung, tetapi berkepit dan bercanda dengan teman lelaki di taman atau memadu kasih dalam kereta. Sesetengahnya masih menyentuh tangan lelaki yang bukan mahramnya serta terjebak dalam kancah maksiat seperti berkhalwat.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari, amalan bertudung atau menutup aurat sama dengan tidak bertudung. Kalau kita tutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari semasa ke semana, kita menggagalkan mesej Islam untuk disampaikan kepada masyarakat.

Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh diperbaiki, tidak boleh pakai tudung, tetapi Aurat wajib ditutup dan pada masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Buang perangai suka mengumpat, dengki, ego, riak dan penyakit hati yang lain.

Apapun, kewajiban bertudung tidak terlepas dari tanggung jawab setiap wanita Muslim. Kalau sudah mula menutup aurat, elakkan daripada suka bertengkar, sebaliknya hiasi diri dengan sifat tolak angsur. Elakkan pergaulan bebas lelaki dan perempuan, sebaliknya serahkan kepada Allah mengenai jodoh dan masa depan. Yakinlah ketentuan qada’ dan qadar Allah.

Apabila menutup aurat, tingkatkan amalan lain serta menjaga tertib sebagai seorang wanita serta menjaga diri dan maruah sebagai wanita Islam.