Saturday, November 20, 2010

KASIH ABU UBAIDAH AL-JARRAH KEPADA RASULULLAH


Abu Ubaidah melihat dua mata rantai baju besi penutup kepada Rasulullah melekat pada kedua-dua belah pipinya.

Abu Ubaidah tidak dapat menahan hatinya lagi, dia segera menggigit satu daripada mata rantai itu dengan giginya lalu menariknya dengan kuat dari pada pipi Rasulullah sehingga tercabut keluar.

Ketika itu juga gigi Abu Ubaidah tercabut akibat menarik rantai yang tajam itu. Lalu ditariknya kedua-dua mata rantai itu dan tercabut sebatang lagi giginya.

Abu Bakar As-Siddiq menceritakan peristiwa itu dengan kata-katanya seperti berikut :

“Sewaktu Perang Uhud dan Rasulullah SAW ditimpa anak panah hingga dua mata rantai tajam menusuk bahagian atas kedua-dua belah pipinya, saya segera berlari mendapatkan Rasulullah SAW.

“Tetapi ada seseorang datang bagaikan terbang dari timur, maka kataku : Ya Allah semoga ini adalah pertolongan dan ketika kami sampai kepada Rasulullah, orang itu adalah Abu Ubaidah yang mendahului aku kesana, serta katanya :

“Atas nama Allah saya meminta kepada anda wahai Abu Bakar, supaya biarkan saya mencabutkannya daripada pipi Rasulullah !.

“Sayapun membiarkannya, maka dengan giginya, Abu Ubaidah mencabutnya daripada pipi Rasulullah satu demi satu mata rantai itu sehingga kedua-duanya tercabut, menyebabkan Abu Ubaidah kelihatan dihadapan orang mempunyai gigi yang lompang !”

Ketika bertambah besar dan luasnya tanggung jawab sahabat, maka amanah dan kejujuran Abu Ubaidah turut meningkat.

Dalam ekspedisi “Daun Khabath’ Abu Ubaidah ditugaskan Nabi SAW memimpin lebih daripada 300 orang prajurit yang dibekalkan tidak lebih daripada sebakul kurma, sedangkan tugas sukar dan jarak yang ditempuhi jauh pula, Abu Ubaidah menerima perintah itu dengan taat dan gembira.

Bersama anak buahnya, dia pergi ke tempat yang dituju dan bekalan setiap prajurit setiap harinya hanyalah segenggam kurna dan selepas habis maka bahagian masing-masing hanyalah sebuah kurma sehari.

Ketika habis semua sekali, mereka mulai mencari daun kayu yang disebut khabath, lalu mereka tumbuk hingga halus seperti tepung dengan menggunakan senjata.

Selain daun itu yang dijadikan makanan, mereka menggunakan daun itu sebagai bekas untuk air minum, itulah sebabnya ekspedisi itu disebut ekspedisi Daun Khabath.

Mereka terus maju tanpa menghiraukan lapar dan dahaga serta tidak ada tujuan mereka kecuali menyelesaikan tugas mulia yang diutuskan Rasulullah SAW kepada mereka. Rasulullah SAW amat sayang kepada Abu Ubaidah sebagai orang kepercayaan Ummah.

No comments: