Saturday, October 9, 2010

MENANGANI ANAK BERBOHONG

Menghukum anak atas pembohongan disebabkan ketakutan bukan satu kaedah berkesan.

“Adik, kenapa baju sekolah kotor” Tanya seorang ibu apabila melihat baju sekolah anaknya kotor hampir setiap hari.

“Adik terjatuh”, jawab kanak-kanak tersebut.

Namun, dari pada riak wajah anak lelakinya itu, si ibu tahu kalau anaknya berbohong.

Hampir setiap ibu pasti pernah melalui situasi begini, apabila anak-anak sudah mulai berbohong dan mencuba menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan ibu dan bapa mereka.

Kanak-kanak berbohong. Ini adalah satu kenyataan yang perlu dihadapi oleh kebanyakan ibu dan bapa. Tanpa arahan dan bimbingan, berbohong ini seakan-akan menjadi kebiasaan pada sesetengah diri kanak-kanak. Memperbesarkan masalah, memutar-balikan kebenaran, mereka cerita dan menafikan kenyataan adalah antara perkara yang berlaku ketika berbohong.

Namun, apabila seorang anak kerap berbohong dan tanpa sebab yang jelas, ibu dan bapa perlu dan harus campur tangan dalam hal ini.

Apabila kitaran penipuan ini bermula, hal ini akan meninggalkan kesan negatif karena ini akan menghilangkan kepercayaan orang lain kepada si anak, sekaligus menyukarkan perkara tidak sehat ini dihentikan.

Oleh sebab itu, ibu dan bapa perlu bertindak dan mencari sebab mengapa anak berbohong serta mencari jalan penyelesaian untuk memperbaiki tabiat tidak sehat ini. Mungkin ramai yang tidak tahu berbohong adalah pertanda awal kepada masalah yang lebih serius.

Berbohong biasanya dikaitkan dengan gangguan masalah sosial pada peringkat awal. Khususnya akibat gangguan hiperaktif dan kurang daya tumpuan dan gangguan perilaku.

Dalam sesetengah kes, tabiat berbohong turut disertakan dengan masalah kelakuan yang lain. Antaranya mencuri, tak masuk sekolah, bersikap ganas, agresif dan kemahiran bersosial yang lemah.

Masalah seperti ini biasanya bercambah daripada rasa tidak aman dalam situasi bersosial, bertindak secara spontan dan tidak menumpukan perhatian kepada apa yang berlaku dalam persekitaran.

Apabila berlakunya situasi seperti ini, pembabitan pakar kaunseling amat penting untuk membantu kanak-kanak. Kaunseling dapat menolong melengkapkan ibu dan bapa dengan gaya mendidik serta pemahaman terhadap anak dengan lebih spesifik.

Mengapa anak berbohong ?

Terdapat beberapa sebab mengapa kanak-kanak berbohong dan sebab itu biasanya dikaitkan dengan persekitaran corak pembesaran anak. Antara sebab adalah :

  1. Takut

Perasaan takut sebab utama mengapa anak cenderung untuk berbohong. Mereka takut dimarahi ibu atau takut sesuatu yang dimiliki akan dirampas orang lain. Ini karena anak-anak hanya mengimpikan perlindungan bukan hukuman.

Dalam hal ini anak yang berbohong besar kemungkinan tahu mereka melakukan kesalahan manakala ibu dan bapa perlu menerima pembohongan itu karena anak sememangnya takut berdepan dengan reaksi mereka.

Tambahan pula sikap ibu dan bapa yang pemarah membuatkan anak-anak ketakutan. Sebelum menyalahkan anak, ibu dan bapa perlulah memberi peluang untuk berkompromi dan mendengar masalah anak bagi membolehkan komunikasi dua arah berlangsung.

  1. Tabiat

Apabila pembohongan kerap berlaku, ia akan menjadi kebiasaan. Semakin kerap anak melakukannya, semakin mudahlah ia bertukar menjadi satu tabiat. Pembohongan yang berulang kali biasanya diperkukuh dengan pendekatan agresif. Memberi peluang kepada anak untuk menarik balik kata-kata bohong adalah antara kaedah efektif untuk menyelesaikan masalah pembohongan.

  1. Meniru

Sebahagian besar anak terdorong untuk berbohong setelah melihat orang lain melakukannya. Dilema dihadapi ibu dan bapa adalah mampukah mereka melindungi anak daripada berbohong ? Ini karena di rumah apabila anak melihat ibu dan bapa atau adi beradik yang lain berbohong menyebabkan mereka terdorong meniru.

Perlukah Ibu dan Bapa menghukum ?

Ibu dan Bapa perlu meneliti dan menimbang beberapa perkara sebelum menjatuhkan hukuman.

  1. Hukuman sememangnya dibuat untuk mengawal dan mengurangkan tingkah laku yang buruk. Tetapi haruslah diingat hukuman tanpa kasih sayang dan arahan yang tidak betul adalah sia-sia. Dalam sesetengah situasi, hukuman pula akan menyumbang kepada tindakan melampau dan penderaan.

  1. Menghukum anak atas pembohongan yang berobjektifkan ketakutan atau meniru bukan suatu kaedah yang efektif untuk jangka masa yang panjang. Sebaliknya, mengenal pasti punca masalah adalah lebih praktikal.

  1. Hukuman patut dijadikan pilihan terakhir dan bukan mengikut emosi. Penggunaan bahasa dan pendekatan yang lebih lembut biasanya lebih berkesan. Beritahu anak dalam nada yang rendah seperti “Tahu tak kalau Ibu dan ayah tidak suka dan kecewa bila adik berbohong ?”.

Yang penting adalah niat setiap ibu dan bapa adalah untuk melihat anak bercakap benar. Justru itu gunakanlah pendekatan yang lebih baik agar anak belajar daripada kesalahan.

Untuk mengajar anak supaya tidak berbohong, mulakan dengan mendidik mereka supaya berbudi bahasa. Ini karena jika anak sudah mempunyai rasa hormat dan sayang akan menyebabkan mereka rasa bersalah untuk berbohong. Caranya adalah :

  1. Mengajar anak untuk mempunyai rasa hormat

Ini secara tidak langsung membuat mereka belajar untuk menghormati orang lain. Bukankah segala-galanya bermula dari rumah ?. Jadi bicara dengan baik kepada anak dan tingkah laku itu akan membuatkan anak melakukan perkara yang sama kepada orang lain.

  1. Membantu melakukan kerja di rumah

Biarkan anak melakukan kerja rumah yang mudah seperti membuang sampah atau membawa pinggan plastik dan diletakkan diatas meja. Aktiviti ini suatu pengenalan kepada anak untuk membantu ahli keluarga membersihkan rumah serta jangan lupa untuk mengajarnya tata tertib menggunakan telephone.

  1. Amal kesopanan di dalam keluarga

Setiap ahli keluarga perlu mengamalkan perkataan tolong dan terima kasih. Jadikan hal ini sebagai suatu ungkapan wajib dalam keluarga. Jika anak terlupa untuk mengucapkan terima kasih, buat sesuatu untuk mengingatkannya.

  1. Mudah meminta maaf dan memaafkan

Galakkan dan berikan motivasi kepada anak untuk meminta maaf apabila telah melakukan kesalahan. Jadikanlah ungkapan meminta maaf sebagai suatu kebiasaan. Ini akan membuatkan dia lebih disenangi dalam pergaulannya.

  1. Memberikan pujian

Berikan pujian berbanding kritikan apabila anak melakukan perkara yang betul. Bagi anak-anak, pujian adalah kata-kata yang menakjubkan. Biarkan anak tahu bahwa anda sangat bangga apabila mereka menunjukkan sikap yang sopan setiap masa.

  1. Berbagi permainan dengan kanak-kanak lain

Berikan kata-kata pujian apabila anak-anak sedia berbagi dengan orang lain. Katakanlah kepadanya sikap suka berbagi barang membuatkan dirinya disukai ramai.

  1. Jangan terlalu inginkan hasil yang cepat

Melatih anak-anak mengenai budi bahasa bukan suatu yang mudah. Dalam tempoh itu berbagai kesalahan dilakukan. Ini adalah proses percubaan untuk anak-anak sama ada boleh dilakukan atau tidak. Anak-anak akan belajar dari kesilapannya.





No comments: