Friday, October 1, 2010

AMANAT TERAKHIR NABI MUHAMMAD SAW


Khutbah terakhir Nabi Muhammad SAW yang disampaikan pada 9 Zulhijah Tahun 10 di Lembah Uranah, Gunung Arafah.

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendakku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir pada hari ini.

Wahai manusia, seperti mana kamu menganggap bulan ini dan kota ini suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap Muslim sebagai amanah yang suci. Kembalikanlah harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Janganlah kamu sakiti sesiapapun supaya orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahwa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah mengharamkan riba. Oleh itu, batalkan segala urusan membabitkan riba mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak keatas istri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.

Layanilah wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka karena sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka adalah sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah pada Ramadhan dan tunaikanlah zakat daripada harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu.

Ketahuilah bahwa setiap Muslim adalah bersaudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorangpun yang lebih mulia daripada yang lainnya terkecuali dalam takwa dan amal soleh.

Ingatlah kamu akan menghadap Allah pada suatu hari nanti untuk dipertanggung-jawabkan atas segala apa yang kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah supaya jangan sekali-kali kamu terkeluar daripada landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi nabi dan rasul yang akan datang selepasku. Dan tidak akan lahir agama baru.

Oleh itu, wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikut kedua-duanya, niscaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang yang mendengar ucapanku menyampaikan pula kepada orang lain dan yang lain menyampaikannya pula kepada orang lain.

Semoga orang terakhir lebih memahami kata-kataku daripada mereka yang mendengar terus daripadaku. Saksikanlah ya Allah, bahwasannya aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-Mu.

No comments: