Tuesday, October 12, 2010

PUNDI KENCING TERLALU AKTIF


Terlalu kerap ; rasa terdesak dan terpaksa bangun tengah malam, adalah antara tanda dan gejala penting yang melanda hidup orang yang mempunyai masalah pundi kencing terlalu aktif. Sebagaimana namanya, penyakit ini menyebabkan seseorang sering berulang kali ke bilik air (kadang melebihi 8 kali dalam tempoh 24 jam) karena desakan untuk buang air kecil sukar ditangguh atau ditunda.

Ini adalah masalah yang membuatkan kualiti hidup seseorang terganggu. Bayangkan, alangkah rimas dan lecehnya untuk orang yang menderita penyakit ini kalau hendak keluar kemana-mana, apabila keinginan untuk membuang air kecil tidak dapat ditahan. Jika tidak, mereka-mereka ini akan terkencing. Dan hal ini akan lebih memalukan.

Pundi kencing yang terlalu aktif adalah penyakit Neurology (system saraf) yang merendahkan kemampuan otak mengawal pundi kencing dan meningkatkan sensitiviti terhadap neurotransmiter pengecutan pundi kencing.

Akibatnya, aktiviti pengecutan pundi kencing menjadi tidak normal dan terlalu cepat. Pada keadaan normal, seseorang buang air kecil biasanya 5 hingga 8 kali dalam sehari, tetapi dikalangan pesakit neurology ini ada yang terpaksa berulang –alik ke bilik air sebanyak 20 kali sehari.

Kekerapan buang air kecil sebanyak 11 kali sehari dapat mengganggu kualiti hidup seseorang pesakit ini karena hal ini mengganggu tumpuan terhadap kerja.

Selain itu pesakit ini kerap bangun tengah malam yang menyebabkan mereka letih dan mengantuk pada waktu siang karena tidak cukup tidur.

Penyebab utama pundi kencing terlalu aktif tidak diketahui dengan pasti, tetapi dalam kebanyakan kes dikategorikan sebagai tidak diketahui atau idiopatik (90%); gannguan pada system saraf atau ada masalah pada pundi kencing itu.

Walaupun hal ini boleh berlaku kepada lelaki dan wanita pada semua peringkat umur, penyakit ini lebih banyak dilaporkan berlaku pada kalangan wanita.

Antara faktor lain yang boleh menyumbangkan kepada masalah pundi kencing terlalu aktif ini adalah :

· Penghasilan air kencing yang banyak (akibat fungsi buah pinggang yang merosot dan masalah kencing manis).

· Jangkitan akut pada saluran pundi kencing yang menyebabkan gejala seperti penyakit ini.

· Keradangan pada tisu berhampiran saluran pundi kencing.

· Ketidak normalan pada pundi kencing seperti ada ketumbuhan atau batu karang.

· Faktor yang menghalang laluan air kencing – ini termasuk kelenjar prostat bengkak, sembelit atau pernah menjalani pembedahan bagi merawat masalah inkontinens (tidak dapat menahan kencing) yang lain.

· Terlalu banyak minum minuman yang mengandungi kafein atau alkohol. Kafein bersifat diuretic yaitu membuatkan anda kerap kencing.

· Pengambilan obat-obat yang mempercepat penghasilan air kencing atau memerlukan pesakit minum banyak air.

Peningkatan umur meningkatkan resiko masalah pundi kencing terlalu aktif ini. Bagaimanapun, hal ini bukan sebagaian daripada proses penuaan yang normal.

Ada beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan masalah pundi kencing terlalu aktif ini, selain dari pada obat-obatan dan pembedahan.

· Kawal jumlah air yang diambil dan tetapkan waktu untuk minum.

· Elak minum minuman yang mengandungi kafein dan alhohol.

· Makan makanan yang kaya denagn serat atau ambil makanan tambahan untuk serat.

· Latih pundi kencing anda dengan menangguhkan pengosongan pundi kencing apabila terasa ada keinginan buang air kecil.

· Ada orang-orang yang bermasalah mengosongkan pundi kencing. Hal ini boleh diatasi dengan menunggu beberapa menit setelah buang air kecil dan cuba lagi supaya pundi kencing dapat dikosongkan sepenuhnya.

· Jadwalkan waktu ke bilik air, disarankan setiap 2 atau 3 jam sekali dan bukan tunggu hingga ada desakan untuk buang air kecil.

· Belajar senaman Kegel / Kemut untuk menguatkan otot lantai pelvic dan otot cerut pada pundi kencing.

· Pakai pelapis dalam yang khusus untuk menyerap air kencing bagi memastikan kebersihan pakaian anda dan mengelakan kejadian yang memalukan diri sendiri.

· Sering dan kerap bersenam dan kekalkan berat badan yang seimbang.

No comments: