Wednesday, November 10, 2010

NILAI POSITIF MENGIKUT KONTEKS ISLAM


Nilai positif didefinisikan sebagai sesuatu yang dikendaki, diperjuangkan, dipuji dan disanjung serta diusahakan sesuatu organisasi atau individu. Manakala nilai negatif adalah nilai yang tidak dikehendaki, dijauhi, dikesali, ditolak dan diperangi sesuatu organisasi atau individu.

Definisi nilai positif dan nilai negatif itu adalah satu definisi nilai yang bersumberkan pengalaman dan adat kebiasaan manusia dalam sesuatu kebudayaan dan tamadun.

Pengalaman, pemikiran dan adat kebiasaan majoriti manusia dapat memberikan ukuran positif dan negatif terhadap nilai-nilai tertentu.

Dalam konteks sosiologi dan falsafah, sumber nilai positif dan negatif adalah manusia itu sendiri. Nilai itu wujud dalam sesuatu kebudayaan dan tamadun melalui proses pemikiran dan pengalaman manusia dari satu generasi ke satu generasi yang lain,

Dalam konteks Islam, sumber nilai ada dua yaitu wahyu dan manusia. Islam mengakui dan mengiktiraf nilai yang positif dan baik yang wujud dalam sesuatu kebudayaan atau tamadun manusia sekalipun manusia itu bukan Muslim.

Contohnya, nilai seperti keberanian, menghormati tetamu dan murah hati yang terdapat dikalangan Arab Jahiliyah diterima dan dikekalkan Islam sebagai nilai yang positif. Islam dapat menerima nilai-nilai tersebut sebagai baik dan Muslim digesa memiliki dan mengamalkannya.

Nilai baik dan berfaedah dalam sesuatu kebudayaan dan tamadun manusia itu dikekalkan Islam. Nilai itu diterima baik oleh Islam. Nilai Islam bersumberkan wahyu dari Allah yang disampaikan kepada manusia melalui utusan yang disebut Nabi dan Rasul.

Nabi dan Rasul terakhir mengikut teologi atau akidah Islam adalah Muhammad (SAW) yang wafat pada tahun 632 Masehi atau 11 Hijrah. Al-Quran memberitahu hakikat bahwa Muhammad SAW adalah Rasul (utusan) Allah dan Nabi terakhir didalam Surah Al-Ahzab ayat 40 yang bermaksud : “Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang daripada lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-Nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

Wahyu yang diterima baginda terkandung didalam Al-Quran dan menjadi sumber nilai dan hukum Islam. Selepas Al-Quran, sumber nilai dan hukum Islam adalah Sunnah Nabi Muhammad SAW yang dikenali juga sebagai Hadis.

Dalam hubungan nilai yang dijelaskan Al-Quran dan Hadis, ulama Islam mengklasifikasikan nilai dalam Islam kepada lima kategori yaitu wajib, haram, sunnah, harus dan makruh. Nilai itu ada hubungan dengan kerja dan usaha yang dilakukan oleh manusia Muslim.

Kerja dan usaha yang diwajibkan Islam mempunyai nilai positif yang paling tinggi. Ianya baik dan berfaedah kepada individu yang melakukan kerja dan usaha itu serta masyarakat juga mendapat kebaikan dan faedah.

Manakala kerja dan usaha yang diharamkan Islam mempunyai nilai negatif yang paling buruk disisi Islam. Kerja dan usaha yang diharamkan mendatangkan kecelakaan dan keburukan kepada individu dan masyarakat yang terbabit dalam kerja atau usaha haram itu.

Kerja dan usaha yang bernilai harus dan sunnah mempunyai nilai positif dan baik. Ianya memberikan kelebihan dan faedah kepada individu dan masyarakat. Manakala kerja dan usaha yang bernilai makruh pun masih mempunyai nilai yang positif pada tahap individu. Islam membenarkan manusia melakukan kerja yang bernilai makruh dan pelakunya tidak diberikan balasan dosa.

Berpandukan lima kategori nilai kerja dan usaha manusia dalam Islam, kita dapati bahwa Islam memberikan peluang yang luas kepada manusia untuk melakukan kerja dan usaha. Islam hanya melarang dan mencegah manusia melakukan satu bentuk kerja dan usaha yaitu yang ditetapkan sebagai haram oleh Islam seperti mencuri, menyamun, merompak, berjudi, membunuh, menipu dan memaksa.

Semua masyarakat manusia yang mementingkan kemanusian dan kerasionalan, akan memberikan nilai negatif dan buruk lagi hina kepada pencuri, penyamun, perompak, penjudi, pembunuh, penipu dan pemaksa atau pemeras ugut.

Banyak perbuatan dan pekerjaan yang diwajibkan dalam Islam. Dalam keperibadatan khusus kepada orang Islam, diwajibkan mengucapkan dua kalimah syahadat, menunaikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan di Ramadhan mengikut kadar kemampuan fizikal dan kerohanian mereka.

Mereka juga diwajibkan mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji kalau mereka mempunyai kemampuan keuangan untuk ke Makkah.

Selain dari lima Rukun Islam yang diwajibkan ke atas muslim lelaki dan perempuan, muslim juga diwajibkan mencari nafkah atau pendapatan untuk saraan hidup dirinya sendiri dan orang yang berada dibawah tanggungannya seperti anak dan istri dan ibu bapa yang tua serta uzur.

Muslim diharamkan melakukan kerja dan usaha yang buruk, jahat dan berdosa seperti perzinaan, perogolan, curi, rompak, samun, penipuan, pembunuhan, pencederaan, kekejaman, kezaliman, arak, perjudian dan riba.

No comments: