Monday, November 15, 2010

PENYAKIT PERIODONTAL ATAU PENYAKIT GUSI

Apakah penyakit “periodontal” ?

Penyakit “periodontal” atau penyakit gusi adalah jangkitan bakteria kronik yang melibatkan gusi dan tulang yang menyokong gigi. Penyakit periodontal boleh melibatkan sebatang gigi atau lebih.

Apakah puncanya ?

Penyakit “periodontal” disebabkan oleh bakteria didalam plak (selaput gigi yang melekit dan tidak berwarna). Jika tidak dibersihkan menggunakan berus gigi dan flos setiap hari, plak boleh bertambah (dan menjadi keras untuk membentuk tartar) dan bacteria ini juga akan menjangkiti tisu gusi dan tulang yang menyokong gigi. Jika proses ini berterusan, gigi menjadi semakin longgar. Poket gusi yaitu suatu ruang akan terbentuk diantara gigi and gusi, dan membenarkan lebih banyak bakteria berkumpul.

Siapa yang berisiko terkena penyakit “periodontal” ?

Penyakit gusi boleh memberi kesan kepada mana-mana kumpulan umur, termasuk kanak-kanak. Walau bagaimanapun, ia paling banyak melibatkan orang dewasa. Beberapa faktor yang boleh meningkatkan resiko adalah :

  • Merokok atau mengunyah tembakau
  • Penyakit seperti kencing manis
  • Gigi serong dan tidak teratur
  • Tampalan gigi yang telah rosak
  • Kehamilan atau penggunaan pil pencegah hamil.

Apakah tanda-tanda penyakit “periodontal” ?

Penyakit “periodontal” boleh berlaku tanpa tanda peringkat awal. Oleh itu, pemeriksaan gigi yang kerap sangat penting untuk diagnosis awal.

Tanda-tanda biasa termasuk :

  • Gusi merah, bengkak dan lembut
  • Gusi berdarah sewaktu memberus gigi
  • Gusi menyusut dari gigi
  • Nafas berbau atau rasa didalam mulut yang tidak menyenangkan
  • Nanah diantara gigi dan gusi
  • Wujud ruang diantara gigi
  • Gigi longgar

Apakah peringkat-peringkat penyakit “periodontal” ?

Gingivitis adalah peringkat awal penyakit “periodontal” yang hanya melibatkan gusi sahaja dan masih boleh dirawat. Jika dibiarkan tanpa rawatan, gingivitis boleh menjadi lebih kronik dan menyebabkan periodontitis.

Gingivitis

Radang gusi mungkin kelihatan merah atau bengkak dan mudah berdarah sewaktu memberus gigi.

Periodontitis

Gusi mula berpisah dan surut dari gigi. Keadaan ini membenarkan plak memasuki ruangan di antara gusi dan gigi.

Periodontitis Kronik

Ligamen dan tulang telah rosak. Gigi menjadi longgar dan kemungkinan perlu dicabut.

Bagaimana cara merawat penyakit “periodontal” ?

Penyakit peringkat awal boleh dirawat sebelum ia menjadi kronik dengan mendapatkan pemeriksaan doktor gigi yang kerap.

  • Peringkat awal penyakit gusi boleh dirawat dengan memberus gigi dan memflos dengan betul.
  • Penjagaan kesihatan gigi yang baik akan mencegah pembentukan plak.
  • Pembersihan secara professional oleh doktor gigi adalah satu-satunya cara untuk menanggalkan plak yang telah mengeras menjadi tartar.
  • Jika keadaan menjadi teruk, prosedur membersihkan akar gigi boleh dibuat. Akar gigi yang bersih dan rata dapat mengelakkan plak dari melekat pada permukaan.
  • Jika keadaan anda lebih kronik, dapatkan rawatan lanjut dari pakar pergigian anda.

Apakah yang anda boleh lakukan supaya gusi sentiasa sihat ?

Masalah gusi boleh dicegah dengan tabiat kesihatan gigi yang menyeluruh. Berikut adalah tip-tip berguna untuk anda :

  • Berus gigi dua kali sehari dengan ubat gigi yang memberi perlindungan sepanjang hari, antaranya :
    • Memberikan perlindungan anti bakteria
    • Membantu mencegah plak dan masalah gigi
    • Mencegah tar-tar, nafas berbau dan mencegah kaviti

  • Gunakan ubat kumur mulut anti bakteria dua kali sehari selepas memberus gigi. Kumur untuk 30 saat dan bilas dengan air selepas kumur. Hal ini akan membantu :
    • Mengurangkan plak dengan berkesan
    • Mengurangkan kesakitan ulser mulut

  • Bersihkan celah gigi setiap hari dengan flos. Ia menjadikan gusi sihat denan mencegah gingivitis
  • Jangan merokok dan menggunakan tembakau
  • Makan diet yang seimbang
  • Selalu berjumpa dengan doktor gigi anda



No comments: