Saturday, September 18, 2010

DOA MAMPU MENOLAK KETENTUAN TAKDIR


Allah sifatkan orang enggan berdoa sebagai orang yang sombong

Dari segi bahasa doa mempunyai pengertian menyeru, meminta dan mendakwa. Menurut istilah, doa bermaksud memohon atau meminta sesuatu yang baik daripada Allah Yang Maha Pemurah dengan menggunakan bahasa yang diperbolehkan dan adab yang baik sesuai dengan ketentuan syarak.

Bagaimanapun, diharuskan berdoa dengan menggunakan apa-apa bahasa sekalipun, dengan syarat ia tidak mengandungi unsur syirik yaitu menduakan Allah SWT.

Dari segi bahasa , selawat berarti kesejahteraan. Manakala mengikut istilah, selawat adalah memohon kesejahteraan dan keselamatan kepada Allah keatas junjungan dan penghulu sekalian makluk lain yaitu Nabi Muhammad SAW. Biasanya, selawat juga sentiasa diiringi keatas keluarga, sahabat dan seluruh pengikut baginda.

Menurut bahasa, zikir berarti mengingati. Secara istilah, ia bermaksud mengingati Allah pada setiap masa dan dimana saja dengan cara dibolehkan syarak seperti menerusi ucapan, perbuatan serta hati.

Hizib pula menurut bahasa bermakna bahagian, golongan, pertolongan, wirid dan senjata. Dari segi istilah, ia diartikan bacaan wirid yang juga sebahagian doa untuk diamalkan muslimin sebagai senjata atau pendinding kejahatan sama ada yang datang dari manusia, jin, syaitan atau makhluk lain.

Oleh itu, doa, selawat, zikir dan hizib sebenarnya mempunyai hubung kait yang rapat antara satu sama lain. Semua itu antara bentuk ikhtiar atau usaha manusia supaya sentiasa dalam keadaan baik, selamat dan sejahtera dibawa naungan Allah dengan cara yang diridhai.

Allah menyuruh hamba-Nya supaya memohon sesuatu kepada-Nya. Hal ini dinyatakan dalam surah Al-Mukmin ayat 60 : “Dan Tuhan kamu berfirman : “berdoalah kamu kepada-Ku, niscaya akan aku perkenankan doa permohonanmu. Sesungguhnya orang yang sombong (takbur) dari pada beribadah dan berdoa kepada-Ku, akan Aku masukkan keneraka jahanam dalam keadaan hina.”

Menerusi ayat itu, Allah memerintahkan manusia sentiasa berdoa kepada-Nya dalam apa jua keadaan dan Allah mencela orang yang enggan meminta dan berdoa kepada-Nya dengan menyifatkan mereka sebagai orang yang sombong.

Surah Al-Baqarah ayat 186 bermaksud : “Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, beritahu mereka : “Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (dengan mereka), Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia sudi berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi segala perintah-Ku dan menjahui sebarang larangan) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.”

Menerusi ayat itu, Allah memerintahkan manusia berdoa dan diikuti dengan keimanan kepada-Nya. Ini menunjukkan antara syarat sesuatu doa akan dikabul adalah beriman dan meyakini Allah Dzat Yang Maha Mengabulkan doa dan manusia adalah makhluk yang sangat daif dan sentiasa memerlukan bantuan.

Seruan berdoa juga dihuraikan menerusi hadis. Antaranya hadis riwayat Imam Tarmizi bermaksud : “Sesungguhnya doa itu memberi manfaat terhadap bala bencala yang berlaku dan yang belum berlaku dan tidak ada (yang mampu) menolak qada’ dan qadar Allah melainkan doa, (oleh yang demikian), adalah sebaiknya kamu sentiasa berdoa.”

Hadis itu menunjukkan hanya doalah satu-satunya cara yang dapat menolak ketentuan Allah. Dalam hadis lain, dinyatakan doa itu ibarat senjata Muslimin. Ia juga sebagai tiang agama dan cahaya bagi seluruh permukaan langit dan bumi.

Ada 10 adab berdoa yaitu :

  • Memilih waktu mulia
  • Ketika berlangsungnya perbagai peristiwa mulia
  • Menghadap kiblat
  • Melembutkan dan merendahkan suara
  • Jangan bersajak ketika berdoa
  • Merendah diri dan khusyuk
  • Berdoa dengan keyakinan Allah pasti mengabulkan
  • Menyegerakan doa
  • Memulakan doa dengan zikir
  • Beberapa adab yang bersifat batiniah

No comments: